Selasa, 1 Oktober 2019 | 4:21pm
BANGKAI gajah Pygmy Borneo yang ditemui dengan kesan tembakan di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, di Tawau. - Foto Jabatan Hidupan Liar

Buru pembunuh kejam gajah Pygmy: Tawaran ganjaran kini RM30,000

KOTA KINABALU: Jumlah ganjaran ditawarkan kepada pemberi maklumat sehingga tertangkap pihak bertanggungjawab membunuh secara kejam gajah Pygmy Borneo di Kalabakan, Khamis lalu, kini meningkat kepada RM30,000.

Terbaru, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa berpangkalan di United Kingdom (UK), Orangutan Appeal United Kingdom (OAUK), menambah RM10,000 ganjaran bagi memastikan pemburu haram terbabit dapat diberkas.

Terdahulu, Jabatan Hidupan Liar dan sebuah badan sukarela masing-masing turut menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat yang tampil membantu pihak berkuasa mengesan pihak terbabit.

Pengasas OAUK, Sue Sherward, berkata pihaknya menawar untuk menaikkan ganjaran itu selepas mengetahui berita pembunuhan gajah berkenaan daripada Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Sen Nathan, selepas tiba di sini, dua hari lalu.

“Dr Sen amat sedih ketika bersama pasukannya melakukan bedah siasat (terhadap bangkai gajah itu) kerana mengaku selama 25 tahun berkhidmat, beliau tidak pernah berdepan tindakan kejam seperti itu.

“Oleh itu, seperti yang saya ikrarkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebelum ini untuk membantu beliau dalam aktiviti pemuliharaan di Sabah, saya turut menawarkan RM10,000 sebagai ganjaran kepada maklumat yang boleh membantu penangkapan pemburu haram terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sherward menegaskan, berita penemuan bangkai gajah itu dengan kira-kira 70 kesan tembakan dan gadingnya dipotong, adalah sangat menyedihkan.

“Justeru, tindakan perlu diambil,” katanya.

Pada 26 September lalu, sekumpulan pemancing di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, menemui bangkai gajah itu yang dipercayai sudah mati antara tiga hingga empat hari.

Gajah jantan dewasa dianggarkan berusia lingkungan 30 tahun dengan ketinggian 2.79 meter itu ditemui kira-kira jam 11.30 malam dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai.

Pemeriksaan awal pasukan Jabatan Hidupan Liar mendapati ada luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah terbabit, dipercayai akibat tembakan senjata api.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga​, berkata hasil bedah siasat menemui kesan kira-kira 70 peluru tabur pada badan gajah itu, malah salah satu peluru menembusi tengkorak haiwan terbabit.

Gajah Pygmy adalah spesies dilindungi bawah Jadual 1 ‘Spesies Dilindungi Sepenuhnya’, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, dan pihak melakukan kesalahan berkenaan boleh didakwa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, menggesa supaya pihak tidak bertanggungjawab terbabit ditangkap segera.

“Ini bagi memastikan tindakan kejam itu tidak berulang pada masa depan. Pihak terbabit bukan sahaja sanggup melanggar undang-undang tetapi juga langsung tiada belas kasihan kepada haiwan.

“Saya sedih dan terkilan dengan sikap pembunuh yang sanggup membunuh gajah demi meraih keuntungan mudah.

“Mereka langsung tiada belas kasihan terhadap haiwan tidak berdosa demi wang, malah sanggup bertindak kejam menembak hingga 70 das. Saya pasti gajah itu cukup menderita dan amat kesakitan sebelum ditemui mati oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Berita Harian X