Selasa, 1 Oktober 2019 | 4:52pm
PENGHANTAR Foodpanda memegang sepanduk berikutan skim pembayaran gaji baru yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka di Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Kementerian Sumber Manusia siasat kemelut isu foodpanda

KUALA LUMPUR: Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menjalankan siasatan berhubung kemelut isu gaji dihadapi pekerja syarikat penghantaran makanan dalam talian, foodpanda.

Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, wakil JPPM dan JTK akan menemui pihak pengurusan syarikat bagi membincangkan perkara itu, hari ini.

“Kementerian sudah mengambil maklum isu yang tersebar antara ‘rider’ (pekerja penghantaran) foodpanda dan pihak pengurusan syarikat terbabit serta dalam proses siasatan perkara itu.

“Laporan awal diterima menyebut ia berpunca daripada pekerja penghantaran foodpanda yang tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat menukar skim fi perkhidmatan yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka.

“Justeru, kementerian sudah berjumpa dengan beberapa penghantar makanan foodpanda pada 30 September bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, Pengarah JPPM Kuala Lumpur dan Pegawai JTK Semenanjung akan menemui pihak pengurusan syarikat terbabit, petang ini.

“Pertemuan di pejabat foodpanda itu bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan penghantar makanan.

“Kementerian akan memastikan wujud situasi saling memanfaatkan antara penghantar makanan foodpanda dan syarikat terbabit.

“Kita sentiasa memberi perhatian dan penekanan khusus terhadap kebajikan serta perlindungan golongan yang berada dalam ‘gig economy’ (pekerja tidak tetap) supaya sentiasa terpelihara,” katanya.

Berita Harian X