Selasa, 1 Oktober 2019 | 5:54pm
RINA (kanan) mengadakan pertemuan dan kunjung hormat terhadap Menteri Negara untuk Pembaharuan dan Pengawalselian Jepun, Seigo Kitamura di Tokyo, semalam. - Foto ihsan KPLB

MJHEP perkasa hubungan Malaysia-Jepun

TOKYO: Penghantaran pelajar Malaysia ke Jepun menerusi Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MJHEP) akan diteruskan, dalam usaha memperkasa hubungan antara dua negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata ia adalah satu daripada program menerusi Dasar Pandang ke Timur yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1982.

Rina berharap bilangan pelajar yang akan dihantar tahun depan meningkat sejajar pertambahan program bersama 24 universiti terkemuka di Jepun.

Buat masa ini, katanya, seramai 285 pelajar MJHEP mengikuti pengajian peringkat ijazah Kejuruteraan Elektrikal dan Mekanikal selama dua tahun di Jepun selepas mengikuti program persediaan tiga tahun di kampus MARA-Japan Industrial Institute (MJII) Beranang, Selangor.

Yayasan Pelajaran MARA dipilih sebagai agensi pelaksana program yang sebelum ini dikenali sebagai Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi bermula Mac 1993.


RINA (kanan) mengadakan pertemuan dan kunjung hormat terhadap Menteri Negara untuk Pembaharuan dan Pengawalselian Jepun, Seigo Kitamura di Tokyo, semalam. - Foto ihsan KPLB

“Maklum balas yang saya terima susulan lawatan dan pertemuan dengan wakil universiti awam dan swasta di sini amat positif dan mereka mahu program ini diteruskan berikutan pencapaian memberangsangkan pelajar kita,

“Permintaan untuk graduan kita juga tinggi kerana ramai antara mereka ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian dengan gaji setaraf lepasan graduan Jepun.

“Saya harap peruntukan tambahan berjumlah RM30 juta setahun untuk kesinambungan program ini akan diluluskan kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasil pertemuan dengan Menteri Negara untuk Pembaharuan dan Pengawalseliaan Jepun, Seigo Kitamura; wakil universiti dan 50 pelajar serta alumni MJHEP di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian berkenaan, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengarah Projek MJHEP, Arba'ain Jaffar.

Rina kini dalam rangka lawatan kerja lapan hari ke Jepun dan Korea Selatan, bermula kelmarin.

Selain memantau pelaksanaan program MJHEP membabitkan pelbagai pihak termasuk Japanese University Consortium for Transnational-education (JUCTe), Japanese Universities Group (JUG) dan Japan International Cooperation Agency (JICA), fokus lawatan turut membabitkan pelbagai bidang.

Antaranya prasekolah, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional, keusahawanan serta pembangunan luar bandar selaras Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

Berita Harian X