Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:49am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menjawab soalan mahasiswa pada program Jelajah Kampus Rahmatan Lil Alamin di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), malam tadi. - Foto BERNAMA

Kertas dasar Rahmatan Lil Alamin sudah siap - Mujahid

NILAI: Kertas dasar mengenai Rahmatan Lil Alamin sudah disiapkan dan dijangka dibentang ke Kabinet bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata kertas dasar itu memerlukan 14 hari untuk membolehkan kementerian membuat ulasan.

“Kita menjangka kertas itu dibentangkan kepada Kabinet pertengahan bulan ini dan akan menjadi dasar rasmi sebaik dipersetujui,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi dialog Program Jelajah Kampus Rahmatan Lil Alamin di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini dan meluangkan masa hampir tiga jam beramah mesra serta menjawab soalan pelajar.

Mujahid berkata, perbezaan pandangan segelintir pihak terhadap konsep Rahmatan Lil Alamin dalam pelaksanaan Islam di negara ini bukan bermakna ia bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Katanya, pelaksanaan konsep itu tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya hanya berpandukan al-Quran dan sunnah dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara rahmah.

"Pengenalan konsep Rahmatan Lil Alamin terdedah kepada pelbagai pendapat dan pandangan, malah ada pihak yang tidak betul-betul memahami konsep itu.

"Jangan anggap perbezaan pandangan itu bermaksud konsep ini bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

"Ia turut dibincang dalam kalangan ahli akademik dan terbukti apa yang cuba diketengahkan tidak bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.

Mujahid berkata, USIM adalah institut pengajian tinggi (IPT) kesembilan dalam siri program jelajah itu dan ia turut dilaksanakan di peringkat kementerian dan negeri.

"Sepanjang sembilan kampus yang kita jelajah, maklum balas sangat positif menerusi sesi dialog yang diadakan. Di situ kita boleh faham apa yang terpahat dalam fikiran mereka selama ini dan setelah diberi penjelasan (mengenai Rahmatan Lil Alamin) golongan mahasiswa berpuas hati.

"Kita harap selepas menamatkan siri jelajah kampus sehingha hujung tahun ini, kita dapat bentuk satu perwakilan pelajar iaitu Majlis Perundingan Mahasiswa Rahmat dan kita sudah cadangkan perkara ini kepada Kementerian Pendidikan.

“Kementerian itu menyokong usul berkenaan sebab ia akan membantu membina kepemimpinan dalam kalangan mahasiswa menerusi idea baharu ini dan kita berharap mereka akan membawa gagasan ini," katanya.

Berita Harian X