Rabu, 2 Oktober 2019 | 1:40pm
Penyediaan makanan tengah hari yang sarat dengan khasiat dan dibekalkan menerusi produk tempatan wajar diperuntukkan di sekolah. - Foto hiasan

'Perluas sarapan sekolah kepada makanan tengah hari'

BANGI: Penyediaan makanan tengah hari yang sarat dengan khasiat dan dibekalkan menerusi produk tempatan wajar diperuntukkan di sekolah.

Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram, ketika mengutarakan cadangan itu menyifatkan program penyediaan sarapan diterajui Kementerian Pendidikan mulai Januari tahun depan sebagai tidak mencukupi, selain dibelenggu beberapa kepincangan.

Katanya, pemilihan sajian seperti susu daripada produk import untuk rancangan makanan berkenaan mempunyai kandungan gula tinggi, sekali gus menyumbang kepada isu kekangan kos dan kesihatan murid.

“Rakyat Malaysia tanpa disedari berdepan masalah obesiti atau kegemukan yang semakin meruncing, tetapi kita terus menafikan hakikat ini dengan tidak mengendahkan komponen makanan seharian.

“Sebenarnya, kajian menunjukkan sebilangan besar rakyat Malaysia tidak mendapat zat makanan mencukupi, khususnya mineral dan kalsium yang menjadi penyumbang utama tumbesaran di peringkat awal usia.

“Oleh itu, berbanding hanya bekalkan sarapan, kita harus perluaskan program ini supaya mencakupi penyediaan makanan tengah hari di sekolah dan meliputi semua murid tanpa mengira latar belakang,” katanya pada sesi Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Keempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.


Jomo pada sesi Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Keempat di UKM, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Turut berkenan berangkat pada syarahan itu adalah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Ditanya aspek pengurusan kos, Jomo berkata, Johor dengan kerjasama Kementerian Kesihatan ketika ini melaksanakan program perintis di negeri terbabit dalam membekalkan makanan tengah hari di sekolah.

Beliau berkata, kos penyediaan makanan tengah hari sarat dengan pelbagai khasiat utama mengikut piramid makanan bagi setiap murid hanya sekitar RM2.40, berbanding RM3 untuk sajian sarapan oleh Kementerian Pendidikan.

“Masalah kita ialah kurangnya kerjasama antara kementerian berkaitan dalam melaksanakan program bermanfaat untuk rakyat seperti ini, justeru mereka harus tingkatkan aspek tadbir urus supaya menjana kesan yang lebih jitu.

“Mengenai kekangan kos, kita boleh beralih kepada produk tempatan yang dihasilkan petani dalam negara, berbanding meletakkan kebergantungan kepada produk import.

“Menerusi pendekatan ini, kita bakal memacu perkembangan industri pertanian tempatan, selain meningkatkan produktiviti dan sosioekonomi mereka.

“Kandungan gula dan bahan lain dalam makanan juga berupaya dikawal kerana kaedah penghasilan produk adalah mengikut pertimbangan kita sendiri,” katanya.

Berita Harian X