Rabu, 2 Oktober 2019 | 3:31pm
Bangunan Parlimen. - Arkib NSTP

Sidang Parlimen 36 hari mulai Isnin ini

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Sidang Parlimen Ke-14 akan berlangsung selama 36 hari, mulai Isnin ini.

Mengikut Portal Rasmi Parlimen Malaysia Persidangan Dewan Rakyat berlangsung dari 7 Oktober hingga 5 Disember ini.

Pembentangan Bajet 2020 dijangka dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Oktober ini.

Dewan Negara pula akan bersidang selama lapan hari bermula 9 Disember hingga 19 Disember depan.

Waktu persidangan ialah dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang pada Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.

Persidangan Kamar Khas pula mulai jam 2.30 petang hingga 4.30 petang pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.

Dalam pada itu, Rang Undang-Undang Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada persidangan kali ini.

IPCMC dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong.

Penubuhan IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke arah meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dua RUU baharu iaitu derma politik dan penubuhan ombudsmen juga dijangka dibentangkan pada persidangan kali ini.

Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori juga dijangka dibentang dan pastinya menarik minat Ahli Parlimen untuk mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Selain itu, rang undang-undang berkaitan program bank makanan juga dibentangkan serta draf pertama RUU itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti.

Pada sesi ini juga Kementerian Pertahanan dijangka membentangkan kertas putih yang menggariskan pelan pembangunan keupayaan terkini Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Berita Harian X