Rabu, 2 Oktober 2019 | 4:21pm
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kiri) merasmikan Majlis Countdown Menjelang Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Wisma Tani. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kuota tambahan benih padi diluluskan

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan sudah meluluskan penyusunan semula agihan kuota tambahan bekalan benih padi sah sedia ada bagi menampung keperluan pesawah di Perak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata kuota tambahan sebanyak 2,500 tan metrik benih padi sah kepada syarikat pembekal sedia ada itu, diluluskan hari ini.

“Kita sudah dapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan, jadi kita sudah laksanakan apa yang kita janji (untuk

selesaikan) isu ini,” katanya selepas melancarkan Majlis Countdown Menjelang Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di sini, hari ini.

Minggu lalu BH melaporkan lebih 4,000 pesawah di Bagan Serai, Perak bimbang tidak dapat memulakan musim penanaman padi berikutan kesukaran mendapat padi sah daripada pembekal seluruh negara.

Isnin lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan, dilaporkan berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengkaji atau menarik semula pemberian kuota kepada syarikat yang gagal membekalkan benih padi kepada petani di seluruh negara.

Katanya, tindakan itu akan dilakukan selepas kementerian membuat penilaian teknikal terhadap semua syarikat pembekal benih padi di seluruh negara, tidak lama lagi.

Dalam pada itu, ditanya sama ada akan berlaku kekurangan bekalan beras susulan pesawah gagal memulakan musim penanaman padi kerana tidak mendapat bekalan benih sah daripada syarikat berkaitan, Salahuddin berkata pihaknya yakin ia tidak akan berlaku.

Katanya, bekalan beras tidak akan terjejas kerana kementeriannya sedang mengambil tindakan dengan membuat pengagihan semula kuota benih dan memberikan kuota kepada pengeluar yang mempunyai stok.

Terdahulu, berhubung HPPNK 2019, katanya, ia akan dianjurkan pada 28 November hingga 1 Disember depan di Angsana Mall, Johor Bahru yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bertemakan Makanan Kita, Masa Depan Kita, ia dilaksanakan sebagai tanda kerajaan menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang berpanas dan bersusah payah bagi memastikan keselamatan makanan negara terjaga.

“Selain itu HPPNK juga bakal mengenengahkan hasil pertanian dan teknologi terkini selain membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat dengan sektor pertanian.

“Melalui kecanggihan teknologi lebih banyak produk pertanian dapat dihasilkan dengan lebih efektif dan secara tidak langsung dapat menerajui kedaulatan makanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung harapan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam Belanjawan 2020 katanya beliau mengharapkan kementerian itu diberikan peruntukan secukupnya selaras dengan perhatian kerajaan terhadap kepentingan bidang pertanian dan industri asas tani di negara ini.

“Tun (Dr Mahathir) sendiri pun banyak kali bercakap mengenai pertanian dan bukan kementerian ini saja, jadi saya mengharapkan ia dapat diterjemahkan melalui bajet yang akan diperuntukkan secukupnya untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.

Berita Harian X