Rabu, 2 Oktober 2019 | 6:27pm
SALAHUDDIN (dua kiri) dan timbalannya Sim Tze Tzin (kiri) merasmikan pelancaran logo Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan (dua kanan) dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim (kanan) pada Majlis ' Countdown' menjelang sambutan HPPNK di Wisma Tani. NSTP/Luqman Hakim Zubir

Apa salahnya duduk bersama? - Salahuddin

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub, memaklumkan setakat ini belum menerima sebarang jemputan ke Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam, Ahad ini.

“Saya setakat ini tidak menerima apa-apa jemputan lagi mengenai kongres itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Countdown Menjelang Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di sini, hari ini.

Ditanya sama ada AMANAH akan menghantar wakil sekiranya menerima jemputan ke kongres itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata perkara itu akan diputuskan oleh parti.

“Perkara itu (hadir atau sebaliknya), ia akan diputuskan oleh parti. Kita akan bincang di peringkat parti dulu. (Namun) kita (tunggu) sama ada, ada jemputan atau tidak,” katanya.

Mengulas mengenai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan akan hadir pada kongres berkenaan dan adakah AMANAH bersedia duduk ‘sepentas’ dengan PAS, Salahuddin berkata tiada masalah dalam perkara itu.

“Kalau nak ditanya tentang duduk bersama, apa salahnya duduk bersama? Tiada masalah.

“Yang saya faham (mengenai kongres ini), Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dijemput untuk memberi ucapan dan saya dengar ramai pemimpin yang lain akan hadir,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengesahkan untuk hadir pada kongres itu dan memberikan amanatnya.

Kongres itu adalah anjuran bersama Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Dr Zainal Kling dilaporkan berkata, dalam kongres sehari itu, lima bidang utama yang bakal diberi fokus oleh universiti itu adalah persoalan politik, ekonomi, pendidikan serta kebudayaan dan agama.

Berita Harian X