Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:44pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Asyraf Hamzah

Kabinet arah 3 kementerian selesai isu 'gig economy'

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini memutuskan tiga kementerian membentuk jawatankuasa khas bagi mencari penyelesaian jangka panjang berkenaan ‘gig economy’ dengan lebih mendalam.

Ia membabitkan Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ia salah satu rancangan jangka panjang kerajaan dalam isu berkenaan.

Terdapat ramai anak muda yang menjadi ‘riders’ (pekerja penghantaran) sepenuh masa atau separuh masa.

"Mereka perlu mendapat perlindungan penuh untuk menambah pendapatan mereka. Kita perlu bertanggungjawab bagi memastikan masa depan mereka terjaga," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menyentuh isu foodpanda, beliau berkata, Kabinet juga menyarankan pengurusan syarikat itu mengembalikan semula skim pembayaran asal dalam usaha menjamin kebajikan pekerjanya.

Beliau berkata, kerajaan percaya kepada persaingan perniagaan pasaran bebas, namun sebaik-baiknya ia tidak mengorbankan nasib pekerja.

“Selepas mendengar cerita kedua-dua belah pihak (syarikat dan pekerja penghantaran makanan syarikat itu), saya bawakan isu ini ke Kabinet hari ini (semalam).

“Kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan pasaran yang lebih kompetitif bagi pemain sektor ini terutama apabila ada pihak mendakwa mereka yang mengawal pasaran,” katanya.

Syed Saddiq berkata, syarikat itu mendakwa mereka mempunyai kawalan pasaran yang besar dan kebanyakan pekerja penghantar makanannya kecuali di Johor sudah bersetuju dengan skim baharu.

“Ini kurang tepat kerana ‘riders’ daripada Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga membantah keputusan baru syarikat berkenaan.

Malam kelmarin, Syed Saddiq mengadakan pertemuan dengan pekerja penghantar makanan foodpanda di kediamannya bagi mendengar keluhan mereka sementara pada pagi kelmarin, beliau berjumpa pengurusan kanan syarikat itu di pejabatnya di Putrajaya.

Isu pekerja foodpanda tercetus selepas beberapa video dan foto tular pada Isnin lalu, apabila pekerja penghantar makanan mogok kerana membantah kadar baharu bayaran yang diperkenalkan.

Berita Harian X