Khamis, 3 Oktober 2019 | 12:40am
MENTERI Sumber Manusia, M Kulasegaran. NSTP/Aswadi Alias.

Jawatankuasa 3 kementerian kaji isu mogok penghantar makanan foodpanda

PUTRAJAYA: Kabinet yang mendengar isu mogok oleh penghantar makanan foodpanda, pada mesyuarat mingguannya semalam, membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa dianggotai tiga kementerian untuk mengkaji lebih mendalam mengenai perkara itu.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata ketiga-tiga kementerian berkenaan ialah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kulasegaran dalam kenyataannya, berkata kementeriannya juga sudah bertemu dengan wakil dari Foodpanda Malaysia iaitu Pengarah Urusannya, Sayantan Das dan Ketua Pemasaran, Fabian Emanuel berhubung isu penghantar makanan foodpanda yang melancarkan mogok.

“Foodpanda mengesahkan bahawa syarikat itu akan memantau skim gaji baharu yang telah dilaksanakan di beberapa negeri sebelum memutuskan sama ada boleh kembali ke skim lama,” katanya.

Kulasegaran berkata, wakil itu menyebut bahawa di semua negeri selain dari Johor, penghantar makanan menerima skim gaji baharu yang berfungsi pada model kecekapan iaitu lebih banyak penghantaran, lebih banyak pendapatan diterima penghantar makanan.

Beliau berkata, kerajaan menggesa syarikat itu untuk kembali ke skim gaji lama yang memenuhi kehendak semua penghantar makanan.

Lebih 200 penghantar makanan melancarkan mogok di ibu pejabat syarikat di Kuala Lumpur pada Isnin, mendesak syarikat itu kembali semula ke skim bayaran asal dan mengancam untuk melancarkan protes di negeri lain sekiranya syarikat itu enggan menangani keluhan mereka.

Syarikat penghantaran makanan dalam talian itu telah melaksanakan skim pembayaran baharu untuk semua penghantar makanan di luar Lembah Klang berkuat kuasa Isnin lalu. - BERNAMA

Berita Harian X