Khamis, 3 Oktober 2019 | 5:18pm
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming. - NSTP/Nik Hariff Hassan
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Kerajaan tiada hasrat kembalikan GST - Ong Kian Ming

IPOH: Kerajaan tidak bercadang mengembalikan semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), sebaliknya masih mengekalkan mekanisme sistem cukai yang digunakan ketika ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata, justeru semua pihak perlu memahami konteks kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti dilaporkan media hari ini.

“Apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir adalah jika rakyat hendak GST dikembalikan kita boleh mengkaji, tetapi kalau kita mendapati rakyat memang tidak mahu GST dikembalikan, saya rasa Tun (Dr Mahathir) pun akan mendengar suara rakyat dan tidak mengembalikan GST.

“Jadi saya rasa, apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri itu bukan untuk menyeru supaya GST ini dikembalikan semula tetapi itu adalah pandangan beliau apabila ditanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat lawatan kerja di M&S Food Industries Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Silibin di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian (MIDF), Azizi Mustafa; Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Perak, Rosazliza Azman, dan Pengarah Urusan M&S Food Industries Sdn Bhd, Chung Khai Chiang.

Kian Ming berkata, pandangan Perdana Menteri adalah rakyat dapat menilai sama ada mahu polisi pelaksanaan GST itu dikembalikan atau tidak.

Media hari ini melaporkan, kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan GST sekiranya itu kehendak rakyat.

Perdana Menteri dipetik berkata, kajian itu bagi melihat sama ada GST lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Selasa lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap kerajaan memperkenal semula GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih, dipetik berkata cukai kepenggunaan itu sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST dengan kadar yang bersesuaian jika kerajaan melaksanakan semula sistem percukaian itu ialah tiga peratus.

Dalam perkembangan lain, Kian Ming berkata, kerajaan menyarankan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam negara untuk bekerjasama dengan MITI dan agensi pelaburan dalam menghadapi cabaran untuk memulakan revolusi industri pembuatan 4.0.

“Industri pembuatan 4.0 tidak semestinya mengambil dana yang besar, jadi kita akan cuba bantu SME dalam kaedah yang sesuai kepada saiz dan persediaan SME tertentu,” katanya.

Berita Harian X