Khamis, 3 Oktober 2019 | 8:13pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Bahagian Perniagaan Shopee, Zed Li hadir pada Pelancaran Kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ anjuran Shopee, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PKR belum terima jemputan ke Kongres Maruah Melayu

KUALA LUMPUR: PKR mengesahkan belum menerima sebarang jemputan berhubung Kongres Maruah Melayu yang akan berlangsung di Shah Alam, Selangor, Ahad ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai jemputan berkenaan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahupun Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya tiada maklumat. Semalam saya berjumpa dengan kak Wan (Dr Wan Azizah) tiada pula diberitahu apa-apa.

“Pagi tadi, saya bersarapan dengan Anwar, tiada pula maklumat apa-apa. Kami ikuti dalam media saja (berkenaan Kongres Maruah Melayu),” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ anjuran Shopee, di sini, hari ini.

Ditanya adakah PKR akan menghadirinya sekiranya dijemput, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan terlebih dulu.

“Semestinya akan ada perbincangan dulu, biasanya,” katanya.

Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengesahkan akan menghadiri kongres berkenaan.

Kongres itu dianjurkan Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Saifuddin berkata, itu hanya maklum balas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, terhadap cadangan Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Salih.

“Perdana Menteri kata jika itu kehendak rakyat maka kerajaan bersedia untuk mengkaji. Sangat ‘open ended’ (terbuka) dan beliau ada sebut juga itu tidak akan terjadi dalam belanjawan.

“Ini cadangan, Perdana Menteri hanya memberi respon kepada soalan terhadap cadangan Tan Sri Kamal.

“Adakah itu satu-satunya kehendak rakyat? Saya anggap ia berhenti di situ saja berkenaan isu GST,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berkata kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan GST, sekiranya itu kehendak rakyat.

Berita Harian X