Khamis, 3 Oktober 2019 | 10:48pm
MICHELLE Bachelet. - Foto AFP

Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Hak Asasi Manusia dalam lawatan kerja ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet, kini dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula hari ini.

Lawatan itu melakar sejarah kerana beliau ialah pesuruhjaya tinggi pertama melawat Malaysia.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini, berkata lawatan itu menandakan pengiktirafan kepada pencapaian dan usaha Malaysia dalam meningkatkan taraf hak asasi manusia di negara ini sejak peralihan kerajaan pada Mei tahun lalu.

Malaysia juga adalah destinasi pertama bagi lawatan Bachelet ke Asia Tenggara sejak menyandang jawatan itu pada September 2018 dan lawatan berkenaan adalah atas undangan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, ketika pertemuan mereka di luar Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland, pada 26 Februari lalu.

Selain Saifuddin, pesuruhjaya tinggi itu akan mengunjungi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), P Waytha Moorthy serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Bachelet juga akan bertemu wakil dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan organisasi masyarakat sivil serta melawat ke salah satu Pusat Pembelajaran Alternatif (ALCs) di Kajang, Selangor. - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X