Jumaat, 4 Oktober 2019 | 11:35am
Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling. - NSTP/Rosela Ismail

Tiada pemimpin politik selain PM berucap di Kongres Maruah Melayu

KUALA LUMPUR: Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, Ahad ini tidak akan menjadi pentas kepada mana-mana pemimpin parti politik untuk berucap atau menyampaikan amanat mewakili parti masing-masing.

Ketua Eksekutif Sekretariatnya, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, berkata kehadiran mereka hanya sebagai peserta perhimpunan yang akan turut sama mendengar hasil dapatan penyelidik empat universiti awam (UA) berdasarkan perbincangan dalam lima teras.

Bagaimanapun, beliau berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, dijemput hadir untuk menyampaikan ucapan selaku Perdana Menteri, yang kemudiannya akan menerima resolusi membabitkan teras agama, kebudayaan, ekonomi, politik dan pendidikan daripada penganjur.

“Pandangan UA menerusi lima teras akan dikemukakan kepada Perdana Menteri selaku pemimpin yang berkuasa dalam negara dan beliau akan menyampaikan ucapan dalam kongres ini.

“Sebelum Perdana Menteri berucap, setiap wakil universiti akan membentangkan hasil dapatan daripada perbincangan yang dibuat antara tiga hingga empat kali sebelum ini.

“Sekretariat tidak menyediakan pentas untuk mana-mana pemimpin politik selain Perdana Menteri untuk menyampaikan ucapan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

UMNO akan menghantar wakil mereka diketuai Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, manakala PAS sudah mengesahkan kehadiran Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke kongres berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan tidak akan menghadiri kongres itu kerana perlu menghadiri dua program parti iaitu Konvensyen UMNO Melaka dan pemukiman Puteri UMNO Nasional pada hari berkenaan.

Kongres Maruah Melayu dijangka menghimpunkan belasan ribu orang daripada pelbagai latar belakang dalam usaha mencari penyelesaian bagi memperbaiki kedudukan dan maruah bangsa itu.

Kongres yang akan bermula jam 8 pagi dan berakhir tengah hari itu akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam yang boleh menampung sehingga 15,000 orang.

Universiti Malaya akan mengendalikan persoalan politik, Universiti Teknologi Mara (ekonomi), Universiti Pendidikan Sultan Idris (pendidikan) dan Universiti Putra Malaysia pula akan menumpukan isu kebudayaan serta agama.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, melihat kepada reaksi beberapa pemimpin politik termasuk pembangkang, kongres itu dijangka menjadi pentas terbaik dalam mengangkat suara orang Melayu yang prihatin terhadap masa depan bangsa itu.

Katanya, segala perbincangan itu bertujuan untuk mencari penyelesaian dan mencari pendekatan terbaik bagi memperbaiki kedudukan serta maruah orang Melayu.

Zainal turut menegaskan, perhimpunan itu bukan bersandarkan unsur perkauman semata-mata, sebaliknya bertujuan membincangkan isu dan permasalahan yang membelenggu orang Melayu.

“Bangsa Melayu di Tanah Melayu berbincang mengenai masalahnya adalah persoalan nasional, bukan persoalan rasis. Orang lain yang datang menjadi warganegara dan bercakap serta mengangkat kepentingannya dalam negara yang sebenarnya rasis,” katanya.

Beliau berkata, selain menjemput parti Melayu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH), PAS dan UMNO, sekretariat kongres turut menjemput PKR yang mempunyai keahlian dalam kalangan orang Melayu.

Katanya, setakat ini sekretariat belum menerima maklum balas daripada wakil PKR dan AMANAH.

Berita Harian X