Jumaat, 4 Oktober 2019 | 10:17pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando's, Mac Chung Lynn. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.

YOUthReka buka peluang, beri ruang artis muda

KUALA LUMPUR: Lebih banyak karya seni termasuk lukisan dan arca dihasilkan 12 artis muda tanah air akan dipamer sempena Pameran Seni YOUthReka anjuran Nando’s Chickenland Malaysia Sdn Bhd (Nando’s) di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar, mulai 4 hingga 9 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando’s, Mac Chung Lynn, berkata ia antara lain bertujuan memberi peluang kepada artis dan pelukis muda tanah air yang pernah memenangi Pertandingan Seni Tahunan YOUthReka anjuran Nando’s sejak tiga tahun lalu mempamer dan menjual karya masing-masing.

Antara artis muda yang diberi peluang mempamerkan hasil karya seni sempena pameran bertemakan ‘Expand Your Peri-meters’ berkenaan ialah pemenang kategori Seni Halus 2018, Choo Ai Xin, 23, dan pemenang kategori seni digital 2016, Yau Boon Han.


KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nando's Malaysia dan Singapura, Mac Chung Lynn (tengah) bergambar bersama pelukis, Haz Yusup (kiri), Yau Boon Han (dua dari kiri), Naim Harith Saiful Bahrin (tiga dari kiri), Cheong See Min (tiga dari kanan), Choo Ai Xin (dua dari kanan) serta Ong Cai Bin pada pameran 'Youth Reka Expand Yourn PERI-meters, Your Art Your Story' di Galeri Prima NSTP. NSTP/Mustaffa Kamal.

“Selari dengan tema pameran ini, kita memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelukis muda berkenaan menghasilkan karya tanpa kekangan dari segi kategori atau medium, sekali gus membolehkan mereka menghasilkan yang terbaik untuk tatapan umum.

“Sebagai galakan untuk terus berkarya, kita tidak mengenakan bayaran atau yuran bagi mereka mempamerkan hasil karya, manakala semua wang akan masuk ke akaun masing-masing jika karya terjual,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran pameran itu di sini, malam ini.

Chung Lynn berharap pameran sedemikian mampu menjadi platform kepada pelukis muda berkenaan untuk pergi lebih jauh dan menjadi artis terkenal tanah air pada masa depan.

Sementara itu, Ai Xin seakan tidak percaya kerana diberi peluang menyertai pameran berkenaan secara solo.

“Umpama mimpi jadi kenyataan apabila dapat melakukan pameran solo hari ini. Sebagai guru seni kanak-kanak, saya amat teruja dapat peluang melakukan pameran solo ini.

“Selama ini saya hanya berpeluang mempamer hasil seni saya pada pameran berkumpulan dan saya harap peluang ini menjadi titik-tolak kejayaan seni pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, hasil seni fabrik yang dipamer menggambarkan metafora kehidupan, begitu juga seni cawan terpakai yang melambangkan sikap dalam masyarakat.

Boon Han, 28, yang memenangi kategori Seni Digital pada 2016, turut berpeluang menyertai pameran solo buat kali pertama.

“Apa yang saya pamerkan ini adalah hasil kerja keras selama tiga tahun walaupun belum ada yang terjual.

“Pada pameran ini, ada tiga lukisan saya letakkan pada harga paling mahal iaitu RM1,000,” katanya yang banyak menghasilkan karya mengenai ruang.

Katanya, setiap insan mempunyai ruang sendiri yang luas dan tidak perlu melihat apa yang dimiliki orang lain.

Berita Harian X