Sabtu, 5 Oktober 2019 | 11:11am
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga, kanan) ketika tiba pada majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 - Foto BERNAMA

WKB2030 dirangka bagi merapatkan jurang pendapatan

KUALA LUMPUR: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dirangka bagi memperkasakan iltizam kerajaan terhadap pelaksanaan keadilan merentasi kaum, kelas pendapatan dan wilayah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata WKB2030 adalah cetakan biru untuk negara menjana pertumbuhan ekonomi yang rancak dan mencipta kekayaan supaya kemakmuran dikongsi bersama.

Selain itu, katanya, WKB2030 menyediakan ‘turbo charge’ untuk memacu pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi serta meningkat kuasa beli rakyat serta dibentang tepat pada masanya ketika ekonomi global sedang bercelaru dan tidak menentu.

“Kerajaan yakin WKB2030 akan dicapai melalui peningkatan dengan memberi fokus kepada industri berteknologi dan berimpak tinggi dan pertanian berteknologi.

“Wawasan ini akan merangsang imaginasi, kreativiti dan keterampilan generasi ‘millenial’ untuk membawa Malaysia ke mercu kecemerlangan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian WKB2030 yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

WKB2030 adalah dasar untuk menjadikan Malaysia sebagai negara terus membangun secara mapan, seiring dengan pengagihan ekonomi adil, saksama dan inklusif di semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Ia akan diteruskan bagi mengukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengabaikan tanggungjawab untuk membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin, selain menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati mereka.

Katanya, WKB2030 juga berteraskan pertumbuhan dan penciptaan kekayaan menjurus untuk membasmi kemiskinan dan membebaskan masyarakat bandar dan desa daripada kesengsaraan dan penderitaan hidup.

“Komitmen kerajaan tidak berganjak dan kami akan melakukan apa saja untuk mencapai matlamat ini demi mengangkat darjat dan martabat mereka.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan memantau pelaksanaan dan kemajuan WKB2030 untuk memastikan objektif murni ini tercapai.

“Rakyat dan kerajaan akan berganding bahu untuk memastikan kemakmuran ini akan dinikmati semua rakyat, sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Berita Harian X