Sabtu, 5 Oktober 2019 | 11:52am
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

WKB2030 perlu seiring pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) adalah usaha kerajaan mengagih ekonomi negara secara adil dan saksama kepada rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaan WKB2030 perlu bergerak seiring dengan usaha memacu pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meningkatkan daya saing negara.

Katanya, WKB2030 adalah tawaran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi seluruh rakyat dengan kedua-dua matlamatnya tidak boleh bercanggah antara satu sama lain.

“Atas kesedaran bahawa ini adalah amanah besar dipikul kerajaan untuk rakyat, semua inisiatif di bawah WKB2030 mestilah dilaksanakan dengan gigih dan bersungguh-sungguh oleh semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana.

“Selain itu, satu sistem pemantauan secara bertahap hendaklah diwujudkan untuk memastikan keberhasilan setiap sasaran ditetapkan di bawah teras dan strategi utama WKB2030 dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berkata demikian pada Majlis Pelancaran WKB2030 yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmi Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Menerusi WKB2030 itu, Muhyiddin berkata, pelbagai usaha akan dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat yang akan membolehkan setiap isi rumah mencapai taraf hidup wajar, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas berkualiti.

“Semua matlamat ini terkandung dalam WKB2030 yang juga kesinambungan daripada Wawasan 2020 diilhamkan Dr Mahathir. Ia adalah gagasan holistik dan komprehensif, selain menyediakan landasan baharu untuk melonjakkan pencapaian ekonomi negara.

“Saya percaya ramai bertanya mengenai kedudukan Bumiputera dalam WKB2030. Prinsip asasnya adalah jelas, iaitu mana-mana kumpulan masyarakat terpinggir akan dibantu kerajaan, termasuk golongan B40 yang lebih 70 peratus daripadanya adalah Bumiputera.

“Strategi dan inisiatif khusus akan dilaksana di bawah WKB2030 untuk meningkatkan pendapatan golongan B40 serta menyediakan pelbagai sokongan untuk meningkatkan keupayaan diri, termasuk pembangunan kemahiran dan profesionalisme, penyertaan dalam rantaian bekalan dan penciptaan kekayaan.

“Bumiputera sebagai kelompok teramai dalam kumpulan B40 adalah antara golongan yang akan menerima manfaat paling utama. Malah, keberhasilan Bumiputera secara keseluruhannya adalah antara intipati penting WKB2030.

“Begitu juga dengan kaum lain dengan hampir 30 peratus daripada golongan B40 adalah bukan Bumiputera. Semua mereka juga akan menerima manfaat besar daripada pelbagai inisiatif akan dilaksanakan kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, WKB2030 adalah berbeza dengan dasar ekonomi terdahulu yang kebanyakannya melihat jurang ekonomi dari sudut kaum.

Sebaliknya, beliau berkata, WKB2030 melihat masalah jurang ekonomi daripada sudut lebih luas, iaitu merangkumi kelas pendapatan, wilayah dan rantaian bekalan.

“Menerusi pendekatan lebih holistik ini, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan dapat mengecapi nikmat kemakmuran apabila segala jurang ekonomi yang wujud di negara ini dapat dirapatkan. Inilah yang ingin kita capai menerusi WKB2030.

“Setiap strategi dan inisiatif diambil di bawah WKB2030 mestilah mampu memacu pertumbuhan ekonomi lebih pesat dan mengekal serta meningkatkan daya saing negara.

“Pengagihan ekonomi yang adil dan saksama hanya akan dapat dilaksanakan dalam keadaan ekonomi negara berkembang dengan rancak dan mapan. Tiada apa yang boleh diagih kepada rakyat sekiranya pertumbuhan ekonomi negara perlahan dan menguncup,” katanya.

i

Berita Harian X