Sabtu, 5 Oktober 2019 | 12:24pm

Ekosistem perniagaan dan industri perlu digembleng untuk kejayaan ekonomi masa depan - PM

KUALA LUMPUR: Penstrukturan dan penggemblengan semula ekosistem perniagaan dan perindustrian amat penting supaya ia mampu beradaptasi dengan ekonomi masa depan dan penghasilan nilai secara efektif, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata penstrukturan semula ekosistem perniagaan adalah satu daripada tujuh teras strategik yang dibangunkan sebagai kunci untuk menjayakan inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Enam teras lain ialah strategi penerokaan aktiviti pertumbuhan ekonomi baharu; transformasi modal insan; pengukuhan pasaran buruh dan peningkatan pampasan pekerja; kesejahteraan sosial; keterangkuman wilayah dan modal sosial.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap melancarkan WKB2030 “Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia”, iaitu kerangka hala tuju negara bagi tempoh 2021 sehingga 2030, di sini hari ini.

Selain memperkukuh kegiatan ekonomi sedia ada, Dr Mahathir berkata, teras strategik lain iaitu penerokaan aktiviti pertumbuhan ekonomi baharu pula diharap dapat membolehkan Malaysia tidak hanya menjadi negara pengguna kepada ekonomi baharu namun menjadi pencipta, pengeluar, pembekal dan penyedia perkhidmatan kepada ekonomi masa hadapan yang lebih kompetitif.

Beliau berkata, strategi transformasi modal insan juga harus memfokus kepada penyediaan sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi termasuk dalam industri ekonomi baharu.

Menurutnya teras strategik keterangkuman wilayah pula menekankan pembangunan titik panas ekonomi khususnya di luar Lembah Klang dan bandar-bandar ekonomi utama.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Turut kelihatan, Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Asyraf Hamzah

“Pembangunan yang holistik bagi kawasan titik panas ekonomi ini merangkumi pembangunan ekosistem yang lebih menyeluruh, pengukuhan rantaian bekalan dan industri hiliran, penyediaan sumber manusia, kemahiran dan dana, infrastruktur sokongan serta kebolehcapaian jalan dan perhubungan untuk komunikasi dan logistik,” tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir juga berharap Malaysia dapat berubah daripada penyampaian kerja yang hanya berasaskan output dan pencapaian kepada negara yang berasaskan impak dan keberhasilan.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) harus berubah kepada Indikator Keberhasilan Utama (KRI) yang boleh dinilai sebagai contoh dari sudut peningkatan pendapatan, penciptaan pekerjaan atau nilai tambah perniagaan dan sebagainya.

“Bagi mencapai hal ini sistem pemantauan dan pelaporan terutama di peringkat kerajaan harus dinaik taraf dan diperkukuhkan,” kata beliau.

Menurut perdana menteri, WKB2030 hendaklah dinilai berdasarkan keberhasilan bagi setiap menteri, kementerian dan agensi seterusnya kepada pelbagai institusi kerajaan dan swasta.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Turut kelihatan, Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Asyraf Hamzah

Penetapan sasaran dan indikator yang jelas serta komprehensif adalah penting untuk menjamin kejayaan WKB2030 yang telah sekurang-kurangnya menetapkan 10 sasaran ekonomi utama menjelang 2030, katanya.

Selain indikator utama ini, indikator dan sasaran lain berdasarkan teras strategik, pemboleh daya dan Inisiatif akan diperkenalkan kepada menteri dan di pelbagai peringkat kementerian, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi supaya dapat dijajarkan ke arah pencapaian matlamat besar Kemakmuran Bersama, tegas beliau.

“Ada yang menyebarkan khabar palsu bahawa kerajaan Pakatan Harapan hari ini mahupun WKB2030 ini telah mengetepikan hak dan masa depan Bumiputera dengan menyamaratakan semua peluang dan meliberalisasikan semua sektor,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, perdana menteri menegaskan Kemakmuran Bersama bermaksud masyarakat Bumiputera tidak ditinggalkan dan perlu dibangunkan supaya lebih kompetitif serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan etnik yang lain.

“Dalam waktu yang sama seperti yang saya selalu tekankan, Bumiputera tidak harus hanya menunggu bantuan dan sokongan kerajaan. Apabila kita faham kita ketinggalan, kita harus sedar untuk lari dengan lebih laju untuk mengejar mereka yang di hadapan,” katanya. – BERNAMA

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Turut kelihatan, Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X