Sabtu, 5 Oktober 2019 | 12:53pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), hari ini. - Foto BERNAMA

WBK2030 kenal pasti 10 sasaran awal berpaksi keberhasilan, pencapaian negara

KUALA LUMPUR: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) menggariskan 10 sasaran awal yang berpaksikan keberhasilan dan penekanan terhadap pencapaian negara termasuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkatkan pendapatan kumpulan B40 dan mengurangkan jurang pendapatan antara kaum.

Mengikut buku WKB2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini hari ini, antara sasaran adalah KDNK berkembang pada kadar purata sebanyak 4.7 peratus setahun pada harga malar dan disasarkan mencapai RM3.4 trilion pada harga nominal.

“Sumbangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan perniagaan mikro kepada KDNK pula sebanyak 50 peratus berbanding sumbangan 38.3 peratus pada tahun 2018, manakala sumbangan enterpris Bumiputera sebanyak 20 peratus kepada KDNK,” katanya.

Sasaran lain yang digariskan adalah purata pendapatan wajar (berasaskan perbelanjaan) tidak kurang daripada RM5,800 sebulan bagi kumpulan isi rumah B40.

Selain itu gaji penengah bulanan antara kumpulan etnik Bumiputera, Cina dan India disasarkan pada nisbah 1:1:1.

“Nisbah gaji penengah bulanan Bumiputera dengan Cina sedia ada adalah 0.88:1 dan nisbah India dengan Cina sedia ada adalah 0.82:1 pada tahun 2016.

“Nisbah ini menggambarkan jurang gaji antara kumpulan etnik masih wujud dan perlu disetarakan,” mengikut dokumen berkenaan.

Buku WKB2030 menyatakan pendapatan penengah bulanan kumpulan etnik Bumiputera, Cina dan India disasarkan pada nisbah 0.9:1:1.

WKB2030 juga menggariskan sasaran nisbah aset kewangan per kapita mengikut kumpulan etnik Bumiputera dengan Cina adalah 0.6:1 manakala India dengan Cina adalah 0.8:1 perlu dicapai.

“Penetapan nisbah ini adalah untuk menangani jurang kekayaan sedia ada antara Bumiputera dengan Cina pada nisbah 0.5:1 serta India dengan Cina pada nisbah 0.7:1,” katanya.

Dokumen itu menjelaskan penetapan 10 sasaran awal ini adalah untuk memperkukuh pemantauan keberhasilan yang akan dijadikan asas kepada inisiatif kerajaan.

Pelaksanaan pemantauan ini akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat serta anjakan daripada penilaian pemantauan yang berasaskan output kepada pemantauan berasaskan keberhasilan.

– BERNAMA

Berita Harian X