Sabtu, 5 Oktober 2019 | 1:00pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama - Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

9 golongan sasar, Bumiputera diberi fokus dalam WKB 2030

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi keutamaan kepada sembilan kumpulan sasar dalam pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) bagi membolehkan kedudukan sosioekonomi mereka dibaik pulih.

Kumpulan itu adalah golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), miskin tegar dan rentan ekonomi; masyarakat dalam transisi ekonomi; Orang Asli; Bumiputera Sabah dan Sarawak; Orang Kurang Upaya; belia; wanita; kanak-kanak serta warga emas.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pemilihan kumpulan berkenaan bagi membolehkan mereka tidak terus tertinggal dalam menikmati limpahan hasil pembangunan ekonomi negara.

“Pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama akan meliputi semua rakyat Malaysia. Namun begitu, selaras dengan konsep kesaksamaan yang mendasari usaha ini, beberapa kumpulan akan diberikan keutamaan supaya kedudukan sosioekonomi mereka dapat dibaik pulih agar mereka tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama - Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Yang turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Menteri Kabinet.

Beliau berkata, WKB 2030 juga memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi Bumiputera.

“Ada yang menyebarkan khabar palsu bahawa kerajaan Pakatan Harapan hari ini mahupun WKB ini sudah mengetepikan hak dan masa depan Bumiputera dengan menyamaratakan semua peluang dan meliberalisasikan semua sektor.

“Kita sangat memahami masyarakat Bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara,” katanya.

Menerusi WKB 2030, beliau berkata kerajaan menetapkan hasrat supaya masyarakat Bumiputera tidak ditinggalkan dan perlu dibangunkan supaya lebih kompetitif serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan etnik yang lain.

“Dalam waktu yang sama seperti yang saya selalu tekankan, Bumiputera tidak harus hanya menunggu bantuan dan sokongan Kerajaan.

“Apabila kita faham kita ketinggalan, kita harus sedar untuk lari dengan lebih laju untuk mengejar mereka yang di hadapan,” katanya.

Berita Harian X