Sabtu, 5 Oktober 2019 | 1:45pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri), Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri), Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kanan) dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin (kanan). - Foto BERNAMA

Tidak tolak kemungkinan perkenal cukai baru bagi tambah pendapatan kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan memperkenalkan beberapa lagi cukai baru bagi menambah pendapatan kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun pengenalan cukai itu kelak tidak akan membebankan rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan beberapa cukai termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang dikenakan tanpa tertib dan tersusun, menyebabkan ada pihak yang terlepas daripada dikenakan cukai.

“Banyak orang yang terlepas. (Kaedah) membayar cukai ini akan diperkemaskan lagi dan kita akan ada agensi cukai pendapatan umpamanya, juga akan diperkemaskan.

“Kita mungkin terpaksa memperkenalkan cukai-cukai baru yang tidak terlalu membebankan rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) - Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Yang turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Di bawah pemboleh daya satu - Kemampanan Fiskal WKB 2030, menggariskan usaha untuk memperkenalkan inisiatif baharu untuk meningkatkan hasil serta menambah baik pematuhan cukai, meningkatkan kecekapan cukai dan memperluas asas cukai.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata rakyat perlu memberi maklum balas dan laporan berterusan kepada kerajaan mengenai prestasi pelaksanaan inisiatif WKB 2030, selain daripada kementerian terpilih.

“Kita akan kenal pasti kementerian berkenaan sebab banyak kementerian akan terbabit. Mereka diberikan kuasa, tetapi itu juga bergantung kepada orang ramai supaya beri laporan kepada kita supaya tidak ada berita palsu.

“Sebelum ini ada banyak orang tuduh itu, tuduh orang ini, tetapi kita dapati tidak ada asas. Kita harap dapat kerjasama daripada orang ramai, dapat beri maklumat kepada kita.

“Umpamanya tidak mudah mendapat sesuatu kerja (kontrak dan mereka yang peroleh kontrak) tidak dapat diteruskan (kerjanya). Kita akan ambil tindakan,” katanya menjawab persoalan media mengenai jaminan kerajaan memastikan matlamat dasar ini tercapai.

Dr Mahathir juga akui dasar Wawasan 2020 yang digagaskan beliau sebelum ini untuk menjadikan Malaysia negara maju tidak kesampaian.

Katanya, kegagalan itu antara lain disebabkan cara pentadbiran kerajaan terdahulu yang tidak menumpukan usaha meningkatkan sosioekonomi rakyat kelas pertengahan, sebaliknya memfokus kepada pemberian bantuan dan subsidi semata-mata.

“Wawasan 2020 bertujuan jadikan negara maju, tetapi 15 tahun kebelakangan ini tiada usaha untuk mencapai matlamat itu. Sepanjang tempoh itu, kita hanya saksikan pemberian tunai kepada rakyat.

“Ramai miskin kerana mereka tidak faham mengenai kepentingan pengurusan kewangan, malah menganggap wang ialah sekadar bahan pertukaran untuk membeli barang Kita akan ajar mereka (golongan miskin) untuk uruskan wang dan latih supaya daya saing kelompok ini meningkat,” katanya.

Berita Harian X