Sabtu, 5 Oktober 2019 | 6:27pm
NAIB Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran.

Resolusi Kongres Maruah Melayu berteraskan Perlembagaan, Rukun Negara

KUALA LUMPUR: Resolusi yang akan dibentangkan pada Kongres Maruah Melayu dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad esok adalah bersumberkan kepada Perlembagaan, Rukun Negara, akta dan undang-undang.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran, berkata cadangan, sumbang saran dan aspirasi yang terkandung dalam resolusi itu bukan pandangan ‘syok sendiri’ penganjur sebaliknya berasaskan sumber perundangan ulung negara.

Katanya, resolusi dalam bidang pendidikan yang akan dibentangkannya esok adalah berpandukan kepada Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Resolusi kami dalam bidang pendidikan misalnya, kami akan kemukakan kepada kerajaan supaya mengambil serius dalam aspek menjadikan pendidikan sebagai asas kepada agenda perpaduan antara kaum.

“Agenda perpaduan hanya boleh dicapai dengan memastikan setiap rakyat menguasai dan mampu menggunakan Bahasa Kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan serta dipersetujui menerusi Kontrak Sosial.

“Resolusi ini terhasil menerusi kajian, perbincangan meja bulat, saranan dan pandangan disuarakan ramai pakar dalam bidang pendidikan yang berpengalaman sejak dulu hingga masa kini termasuk pelajar,” katanya kepada BH, hari ini.

Sekretariat penganjur Kongres Maruah Melayu sebelum ini menegaskan kongres itu bukan program bersifat perkauman, sebaliknya ia satu kesedaran dan semangat ingin melihat masyarakat Melayu kembali bersatu dan menggilap semula kegemilangan bangsa.

Kongres berkenaan dianjurkan secara bersama empat universiti iaitu UPSI, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta satu sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

UM akan mengendalikan isu politik, UiTM (ekonomi), UPSI (pendidikan) dan UPM (kebudayaan) manakala NGO menumpukan bidang agama.

Kongres berkenaan terbuka kepada orang ramai termasuk semua parti politik Melayu. Setakat ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan akan hadir manakala UMNO akan diwakili Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan pemimpin kanan parti lain.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris, berkata resolusi yang dihasilkan pihak UPM hanya akan dibentang esok pada hari kongres berlangsung.

Berita Harian X