Ahad, 6 Oktober 2019 | 7:32am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. Turut kelihatan, Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri).- Foto Syarafiq Abd Samad

WKB 2030 sejajar SDG 2030

PUTRAJAYA: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030).

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini, berkata WKB 2030 yang bertujuan mewujudkan pengagihan pembangunan ekonomi secara adil dan saksama di semua peringkat menjelang 2030 sejajar SDG 2030.

“Malaysia juga sudah menerapkan prinsip SDG 2030 melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (2016 hingga 2020) yang memberi keutamaan kepada rakyat bagi memastikan tiada lapisan masyarakat terpinggir daripada pembangunan mapan itu.

“Justeru, SDG 2030 akan terus diterapkan dalam WKB 2030 sebagai pelan jangka masa panjang Malaysia yang terbaharu, yang akan direalisasikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 hingga 2025) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026 hingga 2030).

“Pelancaran WKB 2030 dengan itu menzahirkan komitmen berterusan Malaysia dalam melaksanakan SDG 2030 seiring dengan fasa pembangunan negara.

“Ia seterusnya ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi yang berdaya saing dan inklusif dengan menjadikan rakyat sebagai satu elemen paling utama kepada pembangunan ekonomi mapan,” katanya.

WKB 2030 menetapkan 10 sasaran ekonomi utama dan fokus agihan menjelang 2030.

Kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada sembilan kumpulan sasar dalam pelaksanaan WKB 2030 bagi membolehkan kedudukan sosioekonomi mereka dibaik pulih.

Kumpulan itu adalah golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), miskin tegar dan rentan ekonomi; masyarakat dalam transisi ekonomi; Orang Asli; Bumiputera Sabah dan Sarawak; Orang Kurang Upaya; belia; wanita; kanak-kanak serta warga emas.

Berita Harian X