Ahad, 6 Oktober 2019 | 2:11pm

Hanya Melayu boleh pulih maruah Melayu - Tun M

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hanya Melayu yang boleh memulihkan maruah bangsa itu sendiri, namun ia bergantung kepada kesediaan mereka untuk bekerja keras dan mengambil segala peluang diberikan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan dipimpin oleh orang Melayu, ia tidak boleh memulihkan maruah bangsa itu sekiranya mereka sendiri tidak mahu berusaha mengubah nasib.

Beliau memberi contoh, masyarakat Melayu ketika ini tidak sanggup mengambil kerja tertentu kerana berasa ia hina serta tidak memberikan pulangan yang banyak, menjadikan pekerjaan sedemikian diisi orang asing.

Warga asing yang datang ke negara ini untuk mengisi pekerjaan dianggap kotor, sukar dan berbahaya, katanya, bagaimanapun tidak selama-lamanya kekal begitu kerana mereka rajin bekerja dan dapat memajukan diri.

“Ini perkara yang benar dan selagi kita menolak perkara yang benar, selagi itu kita tidak dapat membaiki maruah kita.

“Kita tidak ada kesanggupan untuk menjalankan tugas yang perlu dalam kalangan bangsa yang merdeka,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Dr Mahathir hadiri Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Sairien Nafis

Dr Mahathir menyampaikan amanat pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Sairien Nafis

Kongres turut dihadiri pemimpin pelbagai parti politik, antaranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beberapa bekas pemimpin UMNO juga turut serta, termasuk bekas Naib Presidennya yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Pemuda yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Dr Mahathir berkata, masyarakat Melayu ketika ini berasa lega kononnya kerajaan akan membantu mereka, namun hakikatnya, walaupun kerajaan dipimpin orang Melayu, ia tidak sekuat itu.

Mahu tidak mahu, katanya, orang Melayu perlu juga mengambil kira perasaan masyarakat lain kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kekalahan pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, ketika negara mencapai kemerdekaan, sememangnya masyarakat Melayu adalah kaum terbesar di negara ini, iaitu kira-kira 60 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat, namun kedudukan berkenaan tidak dihargai bangsa itu sendiri.

“Oleh kerana demokrasi memberi peluang kepada siapa saja untuk mendapat tempat, maka kita berpecah menjadi kumpulan yang kecil dan tiada yang mampu menguasai sokongan rakyat.

“Ini yang kita lakukan kepada diri kita. Kita sendiri yang melakukan perpecahan ini dan apabila kita berpecah, kita jadi kumpulan kecil, maka kita berlawan sesama sendiri.

“Maka kita bergantung kepada orang lain. Sedikit sebanyak kita akan terhutang budi kepada mereka,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, masyarakat Melayu terus dihina walaupun kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memperuntukkan modal untuk mereka berniaga.

Perkara itu, katanya, adalah kerana masyarakat Melayu tidak menyambut baik peluang yang ada walaupun diberikan modal dan bantuan.

“Kalau pun kita wujudkan banyak peluang perniagaan dan modal untuk dipinjam, kalau tidak ada usaha yang gigih, maka usaha ini akan gagal semua.

“Kita ada dasar baharu, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama, tetapi ia tidak akan datang bergolek dan melayang kepada kita.

“Kita berusaha bersungguh-sungguh, belajar dan sanggup dilatih. Dengan itu kita akan mendapat kejayaan yang diharapkan,” katanya.

Dr Mahathir ketika menyampaikan amanat pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Sadam Yusoff
Berita Harian X