Ahad, 6 Oktober 2019 | 2:24pm
Dr Mahathir bersama Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Kongres, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim (kiri) dan Zainal (kanan) ketika Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

Melayu mungkin perlu ikut Surah At Taubah - Zainal Kling

SHAH ALAM: Masyarakat Melayu di negara ini mungkin terpaksa kembali kepada firman Allah dalam Surah At Taubah jika orang bukan Melayu terus menerus mencabuli perjanjian yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Eksekutif Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, berkata masyarakat Melayu mungkin perlu kembali kepada pengajaran ayat tiga dan empat dalam surah berkenaan, yang menyentuh mengenai perjanjian Rasulullah SAW dengan orang musyrik, berikutan ketika ini masyarakat bukan Islam ketika ini dilihat menyeleweng daripada budi baik yang ditunjukkan masyarakat Melayu kepada mereka.

Beliau berkata, ayat berkenaan, antara lain menyebut umat Islam perlu terus menyempurnakan perjanjian dengan orang kafir selagi mereka tidak mencabuli perjanjian atau menolong musuh orang Islam.

Katanya, ada antara bukan Melayu yang mempermain dan mengusik maruah masyarakat Melayu serta merendah-rendahkan agama Islam selain mengeji Raja Melayu dan kedudukan masyarakat Melayu.

“Mereka berpaling tadah daripada kontrak sosial yang sudah kita bina sebagai perundangan asas yang kita dalam Perlembagaan.

“Meskipun kita memberi kerakyatan kepada semua orang yang ada di sini, mengingati sejarah yang lalu namun mereka sering melanggar baik budi kita dan ada yang menafikan kontrak sosial yang kita bina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Kongres Maruah Melayu anjuran bersama Universiti Malaya (UM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diadakan di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Antara pemimpin yang hadir termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Turut kelihatan pasangan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin.

Zainal berkata, kongres itu juga akan menyaksikan pembentangan lima kulster iaitu Ekonomi Melayu, Kebudayaan, Politik, Pendidikan dan Agama oleh keempat-empat universiti terbabit serta Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia.

Berita Harian X