Ahad, 6 Oktober 2019 | 11:53pm
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (tengah) berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan dari Ambank Group pada majlis Santapan Diraja UTM 2019 (UTM Royal Gala Dinner), hari ini. - Foto BERNAMA

Permaisuri Johor berangkat ke majlis Santapan Diraja UTM

PUTRAJAYA: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, malam ini berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dianjurkan untuk mengumpul dana membantu meringankan beban kewangan pelajar.

Pada Majlis Santapan itu, hampir RM1.5 juta berjaya dikumpul melalui penjualan 44 meja hasil inisiatif UTM CARES yang akan disalurkan kepada pelbagai tabung kebajikan pelajar di UTM seperti Tabung Endowmen, tabung Wakaf Pendidikan dan tabung ‘Because We Care Chancellor’s Fund’.

Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM dalam ucapan perasmiannya bertitah, melalui sumbangan itu pelbagai aktiviti dapat dilakukan pelajar tanpa bimbang akan beban kos kewangan.

“Ini seterusnya dapat merancakkan industri pendidikan dan penyelidikan di negara ini,” titah baginda.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, berkata ketika ini UTM mempunyai kira-kira 50 peratus pelajar yang datang daripada keluarga B40.

“UTM mempunyai ratusan cerita mengenai kesempitan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan mereka amat memerlukan sokongan terutama kewangan,” katanya.

Wahid berkata, adalah penting sumber dana UTM Cares sentiasa lestari dalam menyokong usaha UTM menyebarluaskan ilmu pengetahuan, memartabatkan budaya ilmu serta mendidik generasi yang bakal menjadi pemimpin masa depan.

“Kami menyasarkan dana UTM Cares mencecah RM500 juta menjelang 2025, bagi memastikan kelestarian usaha membantu pelajar,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X