Isnin, 7 Oktober 2019 | 3:52pm
Anwar bertanyakan soalan di Dewan Rakyat bersambung, di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Menteri Kewangan perlu jaga kepentingan Melayu, Bumiputera

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Menteri Kewangan mesti dilantik dalam kalangan individu yang berkelayakan dan mampu membela hak semua kaum terutama Melayu serta Bumiputera.

Presiden PKR itu berkata, beliau tidak kisah siapa pun yang dilantik menyandang jawatan itu asalkan menteri berkenaan mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Menteri Kewangan mestilah seorang yang ada kelayakan, berdaya saing, profesional, yang mengambil berat golongan Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia," katanya di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam Kongres Maruah Melayu semalam yang mahu jawatan utama peringkat negara dan negeri dilantik dalam kalangan orang Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jawatan dimaksudkan seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa negeri.

Menteri Kewangan ketika ini disandang Ahli Parlimen Bagan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Anwar pernah dilantik menjadi Menteri Kewangan selama tujuh tahun mulai tahun 1991 hingga 1998.

Sementara itu, Anwar berkata beliau tidak menghadiri Kongres Maruah Melayu kerana lewat menerima jemputan daripada penganjur.

"Saya dapat jemputan lambat sangat. Petang itu (Sabtu) saya ada di Negeri Sembilan, memang tidak dijemput.

"Tapi bila saya tanya, mereka beri alasan PKR parti pelbagai kaum, tidak jemput, tetapi saya tanya akhirnya jemput juga, jemput petang," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan menerima panggilan daripada penganjur untuk hadir kongres berkenaan.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak berkesempatan untuk menghadiri kongres itu kerana kekangan program di Port Dickson.

Kongres itu dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi AwanG.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan UMNO diketuai Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.

Berita Harian X