Isnin, 7 Oktober 2019 | 5:27pm
Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri.

WKB2030: Serasikan pelaksanaan di Sarawak, Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memastikan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang serasi dengan keperluan penduduk di Sarawak dan Sabah.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata bagi mencapai tujuan itu, pegawai agensi kerajaan disyaratkan turun padang menilai keperluan dan pembangunan rakyat di Sarawak.

Katanya, pelaksanaan wawasan itu juga perlu diselaraskan secara bersepadu bagi memastikan hasrat membawa kemakmuran yang adil kepada semua wilayah, mencapai objektifnya.

"Saya lihat ada sektor penting untuk pembangunan di Sarawak tetapi tidak bantu negeri untuk membangun. Sekarang ini isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga belum dimuktamadkan.

"Macam di Sarawak, Wawasan 2020 dikatakan gagal apa sebabnya. Ia tiada keserasian dari segi pelaksanaan walaupun dasarnya baik.

"Kita kena melihat keseluruhan aspek supaya ada keserasian. Ia perlu disusun dan diatur dengan bersepadu jika mahu mencapai matlamatnya," katanya kepada BH di Parlimen, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 pada Sabtu lalu.

WKB2030 akan memberi fokus kepada langkah merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin pula berkata dasar baharu itu harus memberi keutamaan kepada generasi muda.

Sehubungan itu katanya, Sabah secara umumnya memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di samping menambah prasarana awam untuk keperluan penduduknya.

"Peluang pekerjaan perlu dimantapkan, mutu pendidikan, infrastruktur dan prasarana juga perlu dipertingkatkan.

"Dasar yang baharu seperti ini amat perlu diwujudkan untuk menghasilkan keseimbangan dan memajukan rakyat tempatan," katanya.

Berita Harian X