Isnin, 7 Oktober 2019 | 9:06pm
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - NSTP/Rozainah Zakaria

Terengganu jangka terima royalti minyak RM1.28 bilion

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menjangka menerima royalti minyak berjumlah RM1.28 bilion daripada Kerajaan Pusat, tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata jangkaan itu berdasarkan harga pasaran minyak dunia yang mencecah AS$60 (RM251.40) setong.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri sudah merangka empat asas utama yang akan diberi penumpuan dalam Belanjawan Terengganu 2020, berdasarkan perolehan yang bakal diterima daripada Kerajaan Persekutuan melalui royalti minyak.

“Kita menganggarkan memperoleh hasil royalti petroleum tidak jauh berbeza daripada sebelum ini. Justeru, kita menetapkan empat asas utama untuk ditekankan pelaksanaannya dalam Belanjawan Terengganu 2020 menerusi anggaran RM1.28 bilion yang bakal diperoleh tahun depan.

“Ia termasuk memperkukuh dan memartabatkan agama Islam; memacu pertumbuhan ekonomi rakyat; melestarikan kehidupan sejahtera dan membangunkan modal insan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) di Ladang Tok Pelam, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi KKYT, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zainal Abidin Hussin.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Jumaat ini tidak melupakan keperluan aspek pembangunan dan infrastruktur di negeri ini.

“Saya sangat konsisten supaya projek pembangunan dan infrastruktur terutama yang dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan tidak di negeri ini tidak dipinggirkan termasuk bantuan untuk wanita, warga emas dan golongan memerlukan.

“Mereka ini perlu diberi fokus dan tentunya kita juga berharap kerajaan Persekutuan dapat meneruskan projek yang sedang berjalan dan sudah dirangka di negeri ini termasuk pembinaan jambatan, projek menangani hakisan dan pembinaan rumah,” katanya.

Mengulas mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menyambut positif 10 sasaran utama dalam WKB dan akan bekerja rapat dengan Putrajaya untuk mencapai sasaran ditetapkan.

Berita Harian X