Isnin, 7 Oktober 2019 | 10:08pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Rosela Ismail

Pengurusan foodpanda angkuh - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, Foodpanda Malaysia (foodpanda) disifatkan angkuh apabila menyatakan tiada masalah jika penunggangnya melancarkan mogok terhadap skim pembayaran baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata sebagai syarikat korporat dibangunkan oleh pekerja dan pengguna foodpanda juga boleh dijatuhkan oleh penunggangnya.

Beliau menegaskan, keangkuhan pengurusan foodpanda bukan jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.

“Sebagai #Yangberkhidmat, saya dipilih oleh rakyat dan boleh dihukum oleh rakyat. Sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja/pengguna, dan boleh dijatuhkan oleh pekerja/pengguna.

“Keangkuhan bukan jalan penyelesaian. Hanya sokong korporat yang adil kepada pekerja dan pengguna.” katanya dalam ciapan terbaru menerusi akaun Twitter rasminya di sini, malam ini.

Terdahulu, foodpanda membayangkan mereka tiada masalah dengan mogok penunggang terhadap skim pembayaran baharu yang diperkenalkan.

Pengarah Urusan syarikat itu, Sayantan Das, dipetik sebagai berkata, penghantar yang tidak mahu bekerja perlu memberi atau menukar syif mereka kepada penghantar lain supaya tidak menjejaskan pendapatan.

“Jika anda (penghantar) tidak mahu kerja, tolong berikan atau tukar syif anda kepada penghantar lain kerana anda menjejaskan kehidupan mereka,” katanya dalam sesi taklimat foodpanda di sini, hari ini.

Berita Harian X