Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:43pm

APAD, JPJ rangka peraturan kawal selia van sekolah haram

SEPANG: Kementerian Pengangkutan bersedia mengawal selia perkhidmatan van sekolah tidak berlesen menerusi pengenalan peraturan tertentu bagi memastikan tahap keselamatan dan perkhidmatan pengangkutan lebih baik kepada murid sekolah.

Menterinya, Anthony Loke, berkata ketika ini pihaknya pada peringkat melihat mekanisme bagi pelaksanaan kerangka kawal selia berkenaan.

Katanya, sebelum ini memang ada perancangan untuk kawal selia atau proses pemutihan van sekolah haram, namun ia bukan sesuatu yang mudah ditangani, seperti yang diketahui ia satu masalah lama dan memang berlaku dalam masyarakat.

“Tapi kita juga perlu praktikal sebab ada ramai ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan ini, terutama di kawasan luar bandar di mana kekurangan bas sekolah untuk membawa anak ke sekolah.

“Saya sudah minta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merangka peraturan kawal selia yang perlu kita laksanakan.

“Kerangka itu sudah ada cuma sekarang kita sedang lihat mekanisme pelaksanaannya yang mana antaranya peraturannya mungkin seperti kita kawal selia pemandu e-hailing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya ke-60 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata peraturan yang dikawal selia itu bagaimanapun hanya terpakai kepada van sekolah dan bukan kereta persendirian.

“Jadi hala tuju bukan nak kawal selia untuk kenderaan persendirian tapi yang membabitkan pengusaha van swasta yang membawa murid sekolah.

“Kalau nak kawal selia semua akan susahkan ramai pihak, kerana kadang-kadang ada murid sekolah yang menumpang kenderaan jiran untuk ke sekolah,” katanya.

Kelmarin, BH melaporkan perkhidmatan van sekolah haram bukan perkara baharu dan walaupun isu itu sudah berulang kali didedahkan, bilangan pengusahanya dilaporkan semakin bertambah.

Pelbagai operasi serta gerakan pemutihan yang dilaksanakan pihak berkuasa berkaitan tetap gagal menyelesaikan isu itu, sekali gus menimbulkan persoalan kenapa khidmat van ‘sapu’ terus menjadi pilihan.

Mengikut maklumat Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM), ada lebih 50,000 van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta beroperasi secara haram mengangkut murid serta kanak-kanak kelas prasekolah di seluruh negara.

Presidennya, Amali Munif Rahmat, ketika mendedahkan perkara itu, mendakwa jumlah kenderaan ‘sapu’ yang memberi perkhidmatan berkenaan di seluruh negara semakin meningkat.

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 60 Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) KLIA. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X