Selasa, 8 Oktober 2019 | 1:14pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Ada kalangan B40 miliki 6 kereta

KUALA LUMPUR: Kerajaan tegas melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP) khusus kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) kerana mendapati ada golongan berpendapatan rendah B40 tidak jujur dan menikmati subsidi dilaksanakan sebelum ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata berdasarkan satu kajian mengenai subsidi minyak yang akan disalurkan kepada B40, ada antara golongan itu mempunyai enam buah kenderaan.

Justeru itu, katanya subsidi bersasar perlu dilaksanakan bagi memastikan golongan sasaran dalam B40 saja yang mendapat peruntukan subsidi berkenaan.

"Kita dapati setelah dikaji, ada orang di bawah B40 memiliki hingga 6 kereta dan mereka menikmati subsidi yang kita beri daripada minyak.

“Sebab itu sekarang kita beri satu kereta sahaja kalau mereka daripada B40. Kita tak boleh bagi subsidi kepada orang kaya.

“Ini bantuan tepat. Kita lihat subsidi lama, (mereka) yang guna Rolls-Royce dapat subsidi, takkan kita nak sokong,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Kira-kira 2.9 juta penerima BSH akan mendapat manfaat daripada PSP yang membabitkan jumlah tanggungan kerajaan sebanyak RM65.4 juta sebulan.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PSP akan dilaksanakan pada awal 2020 membabitkan kadar subsidi RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal.

Bagaimanapun, hanya penerima BSH yang memiliki kenderaan 1,600cc dan ke bawah dan kereta melebihi 1600cc yang berjangka hayat 10 tahun ke atas layak menerima PSP.

Berita Harian X