Selasa, 8 Oktober 2019 | 1:20pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

Isu orang tidak bernegara perlu perhatian antarabangsa

KUALA LUMPUR: Isu orang tidak bernegara adalah masalah kritikal yang memerlukan perhatian masyarakat antarabangsa kerana ia boleh memberi impak negatif bukan sahaja kepada negara terbabit bahkan seluruh rantau.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Malaysia sendiri berhadapan dengan masalah lambakan orang tidak bernegara dari rantau Asia sejak sekian lama.

“Walaupun kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kita sebaliknya telah menerima sejumlah besar orang tidak bernegara dari rantau Asia terutama dari Myanmar, dan jumlahnya semakin bertambah.

“Kesannya, kita bukan sahaja terpaksa menanggung beban kewangan sebagai tuan rumah, malah perlu menangani pelbagai risiko keselamatan dan masalah sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan wakil negara tentang orang tidak bernegara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, semalam.

Teks ucapan beliau diedarkan kepada media di sini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tetap komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) dalam usaha menangani masalah itu.

Muhyiddin tiba pada Ahad untuk lawatan kerja empat hari ke Geneva untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Berhubung Orang Tanpa Negara yang merupakan antara program sempena sesi ke-70 Jawatankuasa Eksekutif (ExCom) UNHCR.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Filippo Grandi bagi membincangkan peranan Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan serta membincangkan tentang pengurusan pelarian dan pencari suaka di Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X