Selasa, 8 Oktober 2019 | 4:20pm
Bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak.

Nazir Razak sedia salur kerjasama dengan SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak, bersedia menyalurkan kerjasama berhubung notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan isu penyalahgunaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM25.7 juta.

Beliau menjelaskan, penyaluran ‘dana misteri’ ke akaun peribadinya pada 2013 itu pada mulanya dikatakan diperoleh daripada sumbangan politik yang sahih dan bertujuan bagi menampung perbelanjaan kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“(Bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) memindahkan dana bernilai RM25.7 juta ke akaun saya pada 2013, sebelum ia diagihkan sepenuhnya kepada wakil Najib, dan saya difahamkan peruntukan berkenaan adalah untuk tujuan kempen pilihan raya.

“Tidak ada sesen pun daripada dana terbabit disalurkan atau digunakan oleh saya. Pada ketika itu, saya menaruh kepercayaan kepada permintaan abang bagi membantunya dalam proses berkempen.

“Turut dimaklumkan ketika itu bahawa peruntukan terbabit ialah daripada sumber pendanaan politik yang sahih, justeru saya tidak mempunyai sebab untuk rasa curiga dengan memikirkan perkara sebaliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, semalam mendedahkan Mohamed Nazir adalah antara 80 individu dan entiti yang akan menerima notis kompaun kerana dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Notis kompaun terhadap semua pihak terbabit dikeluarkan mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Apabila kaitan langsung antara dana 1MDB dan Najib dilaporkan media pada April 2016, Mohamed Nazir menjelaskan, beliau nekad bercuti dan berundur daripada menyandang jawatan di CIMB untuk sementara waktu bagi memberi laluan kepada pihak bank mengendalikan proses penelitian semula kes terbabit.

“Mereka (CIMB) berbuat demikian dengan dibantu oleh firma perakaunan dan perundangan. Saya kemudian ‘dibersihkan’ daripada sebarang salah laku dan diundang kembali dalam jawatan di lembaga.

“Saya menghormati sepenuhnya semua usaha SPRM untuk mendapatkan semula dana 1MDB, justeru saya beri kerjasama sebaik mungkin bagi membantu mereka,” katanya.

Berita Harian X