Rabu, 9 Oktober 2019 | 9:00am

Kerajaan waspada rangka pendekatan ekonomi gig

KUALA LUMPUR: Kerangka perundangan bagi mengawal pertumbuhan ekonomi gig, termasuk operasi syarikat Foodpanda Malaysia (Food Panda) yang sebelum ini mencetuskan polemik, kini pada peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk proses penelitian lanjut.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata mesyuarat pertama jawatankuasa khas yang dianggotai tiga kementerian diadakan semalam, dengan mengupas beberapa aspek utama seperti isu kebajikan pekerja dan pendekatan terbaik bagi menyelia pertumbuhan ekonomi gig.

Ekonomi gig yang muncul atas evolusi era teknologi, menyaksikan kemunculan syarikat ‘start-up’ berasaskan ekonomi bersama seperti e-hailing yang membuka peluang kepada orang ramai memperoleh pendapatan sampingan.


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman. - NSTP/Rosela Ismail

Syed Saddiq berkata, kerajaan mengambil pendekatan berwaspada dalam merangka pendekatan bersesuaian terhadap isu melingkari ekonomi gig kerana penggubalan perundangan yang terlalu banyak dan bersifat mengongkong hanya mengundang kesan negatif, khususnya terhadap kadar pertumbuhan sektor perniagaan baharu terbabit.

“Ekonomi gig ini membabitkan jumlah pekerja yang sangat ramai dan ia meningkat saban tahun, begitu juga hasil pendapatan mereka.

“Persoalannya, bagaimana hendak kekalkan pertumbuhan ekonomi gig sementara menjaga kepentingan kebajikan pekerja.

“Jika kita teliti sekarang, individu yang diberi upah dalam ekonomi gig tidak dianggap sebagai pekerja, justeru, mereka tidak tertakluk kepada perlindungan asas dan aspek kebajikan.

“Pada masa sama, kita tidak mahu wujudkan terlalu banyak perundangan sehingga mampu mencerut pertumbuhan ekonomi gig, maka kerajaan mesti cara pendekatan saling memanfaatkan.

“Pencapaian jawatankuasa khas dianggotai tiga kementerian untuk merangka penyelesaian jangka panjang berhubung ekonomi gig sangat bagus dan saya boleh maklumkan, (kerangka perundangan) sedang diperinci serta sudah sampai ke peringkat AGC,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama NSTP, semalam.

Kelmarin, syarikat penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda, mengekalkan skim pembayaran baharu bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang untuk tempoh sekurang-kurangnya empat minggu, sebelum mengambil percaturan seterusnya.


Pengarah Urusan Foodpanda, Sayantan Das. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Pengarah Urusannya, Sayantan Das, dilaporkan berkata, data awal yang dikumpulkan selepas pelaksanaan skim itu pada 30 September lalu menunjukkan perkembangan positif dengan sebilangan besar penunggang memperoleh pendapatan lebih daripada sebelumnya.

Keputusan Foodpanda mengekalkan skim pembayaran baharu didapati bercanggah dengan nasihat oleh kerajaan yang mencadangkan supaya syarikat penghantaran makanan dalam talian terbabit kembali kepada kadar upah sebelum 30 September lalu.

Berbanding negara luar seperti Amerika Syarikat dan Jerman, Syed Saddiq berkata, Malaysia sebenarnya ketinggalan dalam isu membabitkan ekonomi gig, namun polemik yang tercetus terhadap Foodpanda melakar pertumbuhan positif.

“Apa yang berlaku membabitkan Foodpanda sebenarnya memulakan perbincangan terangkum berhubung ekonomi gig di Malaysia, maka kita tubuhkan jawatankuasa supaya merangka pelan jangka panjang untuk membela pekerja dalam ekonomi gig,” katanya.

Berita Harian X