Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:45am
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pelan Perlindungan Sosial Kebangsaan sedang dibangunkan

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya kerajaan memberi bantuan secara universal membabitkan bayaran antara RM150 hingga RM200 bagi setiap kanak-kanak daripada keluarga miskin di negara ini masih belum sesuai dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ini kerana menurut Dr Wan Azizah, kerajaan ketika ini sedang sedang membangunkan Pelan Perlindungan Sosial Kebangsaan bagi menilai semula keberkesanan bantuan kewangan dan kebajikan di semua kementerian.

"Justeru, adalah tidak bertepatan jika kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan baharu sehingga kajian ini dilaksanakan," katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata demikian menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) mengenai sama ada kerajaan akan memperkenalkan bantuan kewangan secara universal bagi meringankan beban keluarga miskin yang menjaga anak.

Ini adalah seperti yang disarankan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) supaya bayaran RM150 hingga RM200 diberi kepada setiap anak yang berusia kurang dua tahun.

Mengulas lanjut mengenai bantuan yang akan disalurkan kepada kanak-kanak di negara ini, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan memperkenalkan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk pelajar sekolah rendah bermula 1 Januari 2020, membabitkan 20.7 juta kanak-kanak.

"Ini bagi memberikan makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan makanan seimbang untuk memastikan murid mengambil sarapan, mengamalkan gaya hidup sihat dan merangsang proses tumbesaran.

"Selain itu, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) RM100 seorang dan maksimum RM450 seisi rumah yang melebihi empat kanak-kanak diteruskan jika memenuhi syarat," katanya.

Menjawab soalan asal Maria mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji keberkesanan sistem perlindungan sosial di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disifatkan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai "fragmented" (terpisah-pisah) dan tidak mempunyai pekerja sosial yang mencukupi, Dr Wan Azizah berkata, laporan itu merujuk kepada sekurang-kurangnya 110 program perlindungan sosial di Malaysia yang dilaksanakan 20 kementerian dan agensi.

"Ia bukan saja yang berada di bawah JKM. Daripada 110 program itu, hanya 11 bantuan kebajikan berada di bawah tanggungjawab JKM.

"Selain itu, sebelum laporan PBB itu dikeluarkan, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Mei 2019 bersetuju supaya Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang ditubuhkan pada 28 Oktober 2016 diaktifkan semula sebagai badan induk penyelarasan dasar dan program perlindungan sosial bagi memperkasakan sistem perlindungan sosial negara," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui JKM tidak mempunyai kakitangan pekerja sosial yang mencukupi kerana berdasarkan kajian Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada Jun lalu, nisbah pekerja sosial di JKM berbanding populasi penduduk Malaysia adalah 1:8,576 (satu pekerja sosial kepada 8,576 penduduk).

Katanya, nisbah itu sememangnya besar jika dibandingkan dengan negara lain seperti 1:490 di Amerika Syarikat, 1:1,040 di Australia, 1:3,025 di United Kingdom dan 1:3,448 di Singapura.

"Ini ditambah lagi dengan kepelbagaian fungsi di luar skop kerja yang terpaksa dipikul pegawai JKM menyebabkan berlaku ketidakcekapan dalam pengurusan perlindungan sosial.

"Justeru, kementerian sedang mengambil beberapa langkah perubahan agar JKM dapat memberikan fokus kepada skop tugas pekerja sosial iaitu pengurusan kes kepada kumpulan sasar, antaranya dengan mewujudkan Akta Profesion Kerja Sosial yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember ini," katanya.

Berita Harian X