Rabu, 9 Oktober 2019 | 3:10pm
MENTERI Sumber Manusia, M Kulasegaran pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kulasegaran nafi tak rujuk MTUC pinda akta perburuhan

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menafikan dakwaan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon bahawa kesatuan itu tidak dirujuk dalam kajian pembaharuan undang-undang buruh.

Menteri, M Kulasegaran, berkata kenyataan Solomon itu adalah salah, tidak bertanggungjawab dan tidak wajar.

"Saya menafikan kenyataan Setiausaha Agung MTUC yang menyatakan MTUC tidak dirujuk dalam kajian pembaharuan undang-undang buruh termasuk pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, kelmarin," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Solomon mendakwa kementerian itu tidak merujuk MTUC apabila membentangkan pindaan kepada Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau turut mendakwa Kulasegaran menyalah guna kuasa dengan menghantar cadangan pindaan tiga undang-undang perburuhan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diluluskan, walaupun belum diperakui jawatankuasa teknikal dan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

Tiga undang-undang berkenaan ialah Akta Kesatuan Sekerja 1959, APP 1967 dan Akta Kerja 1955.

Kulasegaran menjelaskan, kementeriannya sudah mengadakan sembilan mesyuarat NLAC tahun ini dan pelbagai mesyuarat jawatankuasa teknikal sejak Januari lalu.

Kementerian juga menjalankan rundingan dengan kerajaan negeri, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Majlis Peguam dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh dan pelbagai pihak berkepentingan.

"Saya hanya perlu mengadakan dua mesyuarat setiap tahun dan memberi sokongan kepada perundingan tiga pihak untuk mengadakan mesyuarat setiap bulan," jelasnya.

Kualasegaran menegaskan pandangan MTUC bukan satu-satunya yang dipertimbangkan kementerian.

Berita Harian X