Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:04pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kiri) berkenaan mencemar duli melancarkan perkhidmatan tren elektrik terbaharu ETS2 sambil disaksikan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (tiga dari kiri) di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. - NSTP/Salhani Ibrahim

Sultan Perak lancar ETS2

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli melancarkan perkhidmatan tren elektrik terbaharu, ETS2 yang disediakan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), hari ini.

Baginda dijadualkan akan melaksanakan pelancaran pengangkutan baharu itu di Stesen Kereta Api Ipoh, petang ini.

Bagi merasai pengalaman menggunakan pengangkutan itu, baginda bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim mencemar duli menaiki ETS2 di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur untuk ke Ipoh.


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kanan) bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (kiri) menaiki ETS2. - NSTP/Salhani Ibrahim

Dalam perjalanan ke Ipoh, Sultan Nazrin juga dijadualkan untuk diberi taklimat keselamatan dan keadaan landasan kereta api serta pembangunan Ipoh Sentral dan Hotel Majestic (RAC).

Selain pelancaran ETS2, Sultan Nazrin juga perkenan melancarkan Pelan Pembangunan Stesen Kereta Api Ipoh.

Turut mengiringi baginda adalah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Perkhidmatan ETS2 turut menyediakan koc ‘Business Class’ (kelas perniagaan).

Ia adalah satu daripada enam gerabak ETS2 yang direka khas, sebagai pilihan untuk penumpang yang mahukan kelainan tersendiri ketika menaiki perkhidmatan tren itu, selain dilengkapi kemudahan kondusif seiring jenama kelas perniagaan berkenaan.

Ia juga menyediakan tempat duduk luas dan selesa berbanding koc biasa, serta perkhidmatan pramugara dan pramugari khusus.

Berita Harian X