Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:09pm
Vui Keong mengadakan sidang media pada Sidang Dewan Rakyat. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Laporan akhir MA63 sudah disiapkan

KUALA LUMPUR: Laporan akhir berhubung hasil semakan isu serta cadangan hala tuju Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah disiapkan dan dibentangkan dalam tempoh terdekat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata laporan itu akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Seperti yang sedia maklum, tujuh isu sudah mencapai kata putus dan persetujuan antara Pusat, kerajaan Sarawak dan Sabah kecuali satu atau dua perkara seperti hak pemilikan tanah yang memerlukan perbincangan lebih lanjut.

"Saya yakin selepas jawatankuasa pemandu mengadakan mesyuarat terakhir, kita akan mendapat jawapan sebenar," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-PBB Kapit) mengenai status terkini rundingan MA63.

Vui Keong menegaskan sebuah unit pemantau akan ditubuhkan bagi memastikan perkara dibincang dalam jawatankuasa terbabit dilaksanakan termasuk isu berbangkit seperti kewangan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (PBS-Kota Marudu) mengenai kuasa pelombongan minyak dan gas serta kutipan pendapatan tahunan kerajaan negeri, beliau menjelaskan kerajaan bersetuju untuk berbincang dengan lebih lanjut bersama kerajaan Sabah dan Sarawak.

"Isu seperti royalti minyak dan sebagainya sudah diadakan forum berasingan bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama Ketua Menteri Sabah dan Sarawak.

"Perdana Menteri juga akan terus berbincang dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak berhubung isu ini," katanya.

Berita Harian X