Khamis, 10 Oktober 2019 | 4:25pm
Abdul Hamid berkata, PPM adalah satu-satunya pasukan di bawah Jabatan KDNKA yang tidak pernah menerima apa-apa elaun khas sejak 72 tahun penubuhan pasukan itu pada 1947. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

PDRM harap kerajaan pertimbang pemberian elaun khas kepada Polis Marin

GEORGETOWN: Kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian Insentif Elaun Marin sebanyak RM500 sebulan kepada 2,270 anggota Pasukan Polis Marin (PPM) sebagai penyuntik semangat atas pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata PPM adalah satu-satunya pasukan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang tidak pernah menerima apa-apa elaun khas sejak 72 tahun penubuhan pasukan itu pada 1947.

Katanya, anggota PPM wajar diberikan pembelaan setimpal berdasarkan kejayaan demi kejayaan yang ditunjukkan pasukan berkenaan dalam menumpaskan kegiatan jenayah terutama di perairan Pantai Timur Sabah.

“Warga PPM seringkali terdedah kepada risiko semasa menjalankan tugas di perairan, justeru selaku Ketua Polis Negara, saya akan pastikan kebajikan mereka dibela.

“Dalam hal ini, adalah wajar tuntutan elaun khas RM500 diberi perhatian dan pertimbangan oleh kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari PPM ke-72 di Markas PPM Wilayah Satu Batu Uban, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dan Komander Polis Marin, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat.

Sementara itu, Abdul Hamid dalam sidang media berasingan berkata, kerajaan sudah meluluskan pembinaan markas baharu PPM Wilayah Tiga di Tok Bali dekat Pasir Puteh, Kelantan dalam menambahbaik insfrastruktur pasukan.

Katanya, markas di bawah Pakej Pembinaan “Bina, Pajak dan Pindah’ yang menelan kos RM45.5 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas 5.446 hektar dengan pembinaannya akan dimulakan pada Januari 2020 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Pembinaan markas itu adalah menggantikan Markas PPM Wilayah Tiga di Kuantan, Pahang.

“Selain itu, dua lagi projek yang mendapat kelulusan kerajaan adalah Markas Operasi PPM Wilayah Satu Langkawi, Kedah yang menelan kos RM40 juta dan Markas PPM Wilayah Empat di Sepanggar, Sabah dengan kos pembinaan RM45.5 juta.

“Bagaimanapun, kedua-dua masih dalam proses penyediaan tender,” katanya.

Selain pembinaan markas baharu, beliau berkata, pihaknya juga sudah mengemukakan permintaan kepada kerajaan untuk mendapatkan semula dua buah bot kelas PZ daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memperkasakan kehadiran marin di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOMM).

Katanya, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Dalam Negeri (KDN) dan sudah dipersetujui Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Dua bot itu nanti akan digunakan sebagai 'mothership' yang mana diletakkan secara tetap di kawasan perairan yang kerap berlakunya insiden rampasan, rompakan dan penculikan di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Berita Harian X