Khamis, 10 Oktober 2019 | 4:34pm
Latheefa berkata, senarai yang dikemukakan SPRM baru-baru ini adalah bagi individu yang didakwa menerima RM500,000 dan ke atas. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Senarai penuh penerima dana 1MDB belum muktamad - SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, senarai penuh pihak yang dikenakan kompaun berkaitan penerimaan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) belum dimuktamadkan.

Penegasan itu dibuat sebagai menjawab persoalan ditimbulkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, mengenai Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, tidak berada dalam senarai berkenaan sedangkan namanya pernah dilapor portal Sarawak Report.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata senarai yang dikemukakan SPRM baru-baru ini adalah bagi individu yang didakwa menerima RM500,000 dan ke atas.

“SPRM memberi keutamaan kepada jumlah yang lebih besar manakala kriterianya adalah jumlah wang terbabit, bukan perkara lain.

“Kita akan mengambil tindakan secara rapi dan teratur, selain terus mengambil langkah mendapatkan kembali wang 1MDB yang juga milik rakyat secara berperingkat tanpa memihak kepada sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu merujuk dakwaan kononnya SPRM menggugurkan nama Mas Ermieyati daripada senarai 80 individu dan entiti yang dikenakan kompaun berkaitan kes 1MDB.

Pada sidang media di ibu pejabat SPRM Isnin lalu, Latheefa mendedahkan 80 individu dan entiti termasuk bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak, akan menerima notis kompaun kerana dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Notis kompaun terhadap semua pihak terbabit dikeluarkan mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Shahrir sebelum ini dilaporkan berkata, hanya nama beliau dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan, berada dalam senarai itu sedangkan pada Ogos 2015, nama Mas Ermieyati turut disebut Sarawak Report.

Berita Harian X