Khamis, 10 Oktober 2019 | 4:34pm
KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd Aziz. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kenderaan baharu tingkat keupayaan penguatkuasan KPDNHEP

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) yakin kekuatan dan kecekapan agensi penguatkuasaannya mampu diperkasa dengan penerimaan 74 kenderaan baharu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Muez Abdul Aziz, berkata dalam menguatkuasakan undang-undang, anggotanya perlu bergerak setiap masa dengan melakukan risikan, pemeriksaan, penyiasatan dan pendakwaan.

Katanya, kenderaan baharu itu mampu menyuntik semangat kepada agensi penguatkuasaan dalam memudahkan pergerakan anggota ketika bertugas, khususnya membabitkan operasi.

“Pembahagian kenderaan dilakukan seimbang mengikut keperluan setiap negeri, tertakluk kepada bilangan kes dan bebanan tugas penguatkuasaan,” katanya kepada media pada majlis penyerahan kenderaan baharu kepada negeri dan cawangan KPDNHEP di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim dan Pengarah Urusan Jualan PERODUA, Zahari Husin.

Sebanyak 71 kenderaan diserah kepada setiap wakil negeri IAITU 55 unit PERODUA Aruz dan selebihnya kenderaan pelbagai guna jenis Toyota.

Muez berkata, dengan pembelian PERODUA Aruz itu, KPDNHEP menjadi agensi kerajaan pertama menggunakan kenderaan berkenaan bagi membantu mempromosi kereta nasional terbabit.

Beliau berkata, kos pembelian kenderaan itu adalah RM5.9 juta dan setakat ini, bahagian penguat kuasa KPDNHEP mempunyai 279 kenderaan sedia.

“Bagi tempoh 2015 hingga 2019, KPDNHEP menyumbang kepada hasil negara dianggarkan RM506 juta melalui sitaan barang kes, kompaun dan lucut hak.

“Kita harap kenderaan itu dapat diguna dan dijaga sebaik mungkin kerana ia antara aset kerajaan perlu dipatuhi mengikut peraturan ditetapkan kementerian,” katanya.

Berita Harian X