Khamis, 10 Oktober 2019 | 4:38pm
Tindakan pemaju mengenakan caj penyimpanan kepada pembeli yang tidak menguruskan pindah milik strata adalah salah di sisi undang-undang. - Foto hiasan

Pemaju kenakan caj penyimpanan, salah di sisi undang-undang

KUALA LUMPUR: Tindakan pemaju mengenakan caj penyimpanan kepada pembeli yang tidak menguruskan pindah milik strata adalah salah di sisi undang-undang.

Pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR), Salkukhairi Abd Sukor, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pembeli kediaman terhadap tindakan pemaju yang sewenang-wenangnya mengenakan caj penyimpanan pada kadar tidak munasabah kepada pembeli.

Beliau berkata, caj itu kononnya dikenakan berikutan kegagalan pembeli melakukan urusan penyempurnaan pindah milik dalam tempoh ditetapkan pemaju sebaik saja hak milik strata dikeluarkan.

“Justeru, GEMPHAR menasihati pembeli yang tidak berpuas hati dengan tindakan pemaju berbuat demikian supaya mencabar tindakan berkenaan di mahkamah.

“Sekiranya mahkamah menetapkan pemaju tiada hak mengenakan caj berkenaan, pembeli berhak mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa caj dikenakan tidak sah dan terbatal serta berhak menuntut ganti rugi, ” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Salkukhairi berkata, caj penyimpanan kebiasaannya dituntut pemaju sebaik saja pembeli atau peguam pembeli ingin mendapatkan surat pengesahan bagi melaksanakan urusan penyempurnaan pindah milik kepada nama mereka atau kepada pembeli baharu.

Katanya, caj itu dikenakan pemaju pada kadar berbeza antara satu pemaju dengan pemaju lain dengan ada yang mengenakan caj pada kadar RM10 sehari, selain ada juga mengenakan caj RM50 sehari.

“Pemaju mendakwa mereka mengenakan caj itu berdasarkan peruntukan Seksyen 40A Akta Hakmilik Strata yang kononnya membenarkan pemaju mengenakan sebarang caj atau denda kepada pembeli jika mereka lewat melakukan urusan penyempurnaan pindah milik daripada tarikh ditetapkan pemaju.

“Bagaimanapun, peruntukan undang-undang itu sebenarnya tidak boleh diguna pakai kerana ia sudah dimansuhkan dan tidak dinyatakan dengan jelas dalam Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2016, ” katanya.

Beliau berkata, peruntukan undang-undang itu juga bukan memberi kuasa kepada pemaju mengenakan denda kepada pembeli yang lewat melakukan urusan penyempurnaan pindah milik, tetapi ia hanya menyatakan ia menjadi kesalahan kepada pembeli jika gagal berbuat demikian dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Katanya, perkataan disabitkan kesalahan itu memberi maksud hanya mahkamah saja layak menentukan sama ada pembeli bersalah atau tidak selepas pendakwaan dikenakan ke atas pembeli oleh pendakwa raya.

“Ia sekali gus memberi maksud bukannya pemaju boleh sesuka hati mengenakan denda kepada pembeli jika pembeli lewat melaksanakan urusan berkenaan,” katanya.

Berita Harian X