Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:03pm
AHLI Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran pada Sidang Dewan Rakyat. NSTP/Saifullizan Tamadi.

Senarai kerja permintaan tinggi diedar pada sekolah, pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia sedang menyenaraikan bidang pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi tetapi tidak mendapat sambutan dalam kalangan pelajar lepasan sekolah.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata pihaknya menerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kemudian akan mengedarkan risalah mengandungi senarai bidang kerja itu ke semua sekolah di seluruh negara.

“Senarai itu dibuat dengan mengambil kira bidang pekerjaan masa depan seiring Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)

“Pengedaran risalah itu pula antara kaedah awal untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai bidang pekerjaan berkenaan.

“Kita juga akan sebarkan senarai berkenaan menerusi medium dalam talian,” katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Productivity Linked Wage System (PLWS) 2019 Piala Menteri Sumber Manusia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, ibu bapa perlu mengubah persepsi bahawa TVET adalah pilihan kedua berbanding bidang akademik yang menjadi rebutan pelajar lepasan sekolah untuk ke kolej atau universiti.

Beliau berkata, TVET juga dilihat mampu melahirkan tenaga kerja tempatan diperlukan industri dan negara bagi mengharungi IR 4.0.

Pada masa sama, katanya, usaha memperkasakan TVET mendapat kerjasama semua pihak berkepentingan, seterusnya membolehkan bidang itu dijadikan pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan.

“Mengikut kajian Bank Dunia, ada kebimbangan terhadap jurusan dan bidang pendidikan yang menjadi pilihan lepasan pelajar sekolah di seluruh dunia.

“Satu dunia mengetahui IR 4.0 akan mengambil alih beberapa sektor pekerjaan sedia ada. Sebagai contoh, 80 peratus daripada skop kerja seorang akauntan akan digantikan sistem robotik dan teknologi baharu.

“Negara seperti Jerman pula sudah mengorak langkah dengan memfokuskan 60 peratus TVET dan bakinya bidang akademik.

“Zaman sudah berubah, kita perlu bergerak mengikut peredaran teknologi terkini,” katanya.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, proses penamatan perkhidmatan semua pekerja Utusan Melayu (M) Bhd perlu dibuat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Patuhi undang-undang dan (sekiranya didapati pihak terbabit tidak berbuat demikian) kementerian akan mengambil tindakan mengikut keperluan,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu (M) Bhd, Mohd Taufek Razak, dilaporkan mendakwa pihaknya keliru dengan nasib pekerja syarikat itu yang hanya dimaklumkan diberi cuti sehingga hujung bulan.

Taufek dipetik berkata, seramai kakitangan 862 kakitangan syarikat tidak menerima surat pemberhentian kerja, sebaliknya hanya surat penutupan operasi saja.

Berita Harian X