Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:13pm
AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MyHeart Siri ke-4, di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

Nurul Izzah tidak merajuk, selesa jadi Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyangkal dakwaan penarikan diri beliau sebelum ini di dalam parti atau sebarang jawatan disebabkan kecewa dengan politik kepartian.

Sebaliknya, beliau berkata lebih selesa menjalankan tugas membantu rakyat sebagai Ahli Parlimen.

“Saya fokus projek perintis iaitu pemberian methadone dalam masjid. Tumpuan pada kawasan penyaluran termasuk banyak lagi projek dengan Yayasan MyPrihatin untuk membantu memberi pekerjaan kepada wanita di Permatang Pauh.

“Jadi bagi saya penting dalam memegang jawatan Ahli Parlimen ini untuk menyalurkan reformasi menerusi program perintis dan kita juga sedang mewujudkan program indeks kemiskinan multidimensi di Permatang Pauh.

“Jadi saya fikir lebih baik saya tumpu pada tugas saya dan semua spekulasi ini tidak membantu sesiapa pun, kita harus tumpukan pada tugasan, katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MyHeart Siri ke-4, di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

Nurul Izzah sebelum ini melepaskan semua jawatannya di dalam PKR termasuk Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, termasuk sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi IJN, Akmal Arief Mohamed Fauzi, Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Datuk Dr Halimaton Hamdan, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial IJN Foundation, Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur dan selebriti, Nur Heliza Helmi.

Sementara itu, Halimaton berkata tujuan MoU itu diadakan adalah bagi membantu pesakit jantung kanak-kanak dan remaja yang berusia 17 tahun ke bawah serta daripada keluarga yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan di IJN.

Yayasan MyPrihatin juga turut bergabung dengan Projek Prihatin Permatang Pauh Women’s Project (PPWP) yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah asnaf.

Antara lain kerjasama itu bagi menghasilkan pakaian seragam sekolah dan sebahagian daripada keuntungan hasil jualan akan disalurkan ke Program MyHeart.

“Turut dilancarkan Tabung Prihatin dengan kerjasama Pertubuhan United Muslim Malaysia (UMM) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).

“Tabung itu ditempatkan di kaunter bayaran seperti restoran, kedai dobi dan kedai serbaneka dengan sasaran 1,000 lokasi di seluruh negara.

“Kemudahan QRPay Maybank juga disediakan. Tabung ini dilancarkan bagi mencegah rayuan sumbangan derma oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada program MyHeart Siri ke-3, sejumlah RM97,477.33 berjaya dikumpulkan dan dana itu digunakan untuk menampung kos logistik dan sara diri pesakit jantung kanak-kanak.

Berita Harian X