Jumaat, 11 Oktober 2019 | 5:22pm

Kerajaan komited perluas asas perolehan hasil, tingkat kecekapan pengurusan cukai

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluaskan asas perolehan hasil, mengurangkan jurang cukai dan meningkatkan kecekapan pengurusan cukai bagi memastikan kutipan hasil yang mampan.

Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 oleh Kementerian Kewangan menyatakan matlamat itu akan dicapai, antara lain dengan merasionalisasi insentif cukai, mengurangkan ketirisan cukai dan meningkatkan pematuhan cukai melalui pengauditan yang berkesan.

Hasil Kerajaan Persekutuan pada 2020 dijangka berkurangan 7.1 peratus kepada RM244.5 bilion, kata laporan itu.

“Bagaimanapun, hasil dijangka meningkat 4.8 peratus jika tidak mengambil kira dividen khas PETRONAS dalam anggaran disemak 2019,” menurut laporan itu.

Katanya, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama hasil negara dengan jumlah kutipan RM189.9 bilion.

Hasil cukai sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka stabil sekitar 11.8 peratus, manakala kutipan cukai langsung dianggar meningkat 5.2 peratus kepada RM142.7 bilion merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah hasil cukai.

“Sebahagian besar kenaikan itu disumbangkan oleh peningkatan kutipan cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat (CITA) dan cukai pendapatan individu sebanyak RM75.5 bilion dan 37.4 bilion.

“Prospek pendapatan korporat yang lebih baik dan usaha berterusan dalam menambah baik audit dan pematuhan cukai akan menyumbang kepada peningkatan kutipan CITA,” katanya.

Menurut laporan itu, cukai tidak langsung dijangka meningkat 6.5 peratus kepada RM47.3 bilion, terutama disumbangkan oleh hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi.

Kutipan SST pada 2020 diunjur RM28.3 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK selaras dengan perbelanjaan penggunaan yang lebih tinggi, program Tahun Melawat Malaysia 2020 dan pelbagai program antarabangsa.

Kerajaan menetapkan sasaran ketibaan 30 juta pelancong dan jangkaan pendapatan sektor pelancongan mencecah RM100 bilion tahun depan.

Sementara itu, dividen tahunan PETRONAS diunjur berjumlah RM24 bilion.

Laporan itu menyebut hasil berkaitan petroleum dijangka mencatat RM50.5 bilion pada 2020 selaras dengan jangkaan purata harga minyak dunia di paras US$62 setong.

Hasil bukan petroleum diunjurkan meningkat 6.6 peratus kepada 194.1 bilion selaras dengan komitmen kerajaan untuk mempelbagai hasil melalui inisiatif pembaharuan cukai.

“Hasil bukan petroleum dijangka kekal stabil sekitar 12.1 peratus daripada KDNK (2019: 12 peratus daripada KDNK). Kerajaan akan terus memperluas hasil bukan petroleum untuk memastikan aliran pendapatan yang mampan dalam jangka masa sederhana,” kata laporan itu. – BERNAMA

Berita Harian X