Jumaat, 11 Oktober 2019 | 7:03pm

Pertanian - Industri sawit terus jadi keutamaan kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus menyokong industri kelapa sawit dengan memperuntukkan RM550 juta kepada pekebun kecil menerusi dana pinjaman penanaman semula tanpa cagaran.

Berikutan kesan harga komoditi rendah yang menjejaskan mereka, dana itu menawarkan kadar faedah serendah dua peratus setahun dengan tempoh pinjaman selama 12 tahun termasuk empat tahun moratorium bagi pembayaran balik.

Menerusi dana yang disediakan, penanaman semula bakal menggunakan teknik semaian terkini yang mematuhi piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), sekali gus memastikan produktiviti dan kebolehpasaran hasil yang lebih baik.

Dalam usaha menangani kempen anti-minyak sawit, RM27 juta diperuntukkan bagi menyokong Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meluaskan pasaran minyak sawit ke peringkat antarabangsa.

Pelaksanaan penggunaan Biodiesel B20 dalam sektor pengangkutan menjelang akhir tahun depan dijangka mampu meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 500,000 tan setahun.

Prihatin terhadap kebajikan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), sejumlah RM810 juta akan dibelanjakan untuk kebajikan mereka termasuk RM250 juta bagi program meningkatkan pendapatan 11,600 penerokanya.

Perbelanjaan itu juga membabitkan RM300 juta bagi hapus kira faedah pinjaman peneroka, RM100 bagi bekalan air, RM70 juta untuk perumahan generasi baru dan RM90 juta bertujuan menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan FELDA.

Sejumlah RM200 juta pula diperuntukkan bagi Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Manakala RM100 juta pula disediakan untuk Insentif Pengeluaran Getah bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah.

RISDA serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bakal menerima RM738 juta bagi melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memanfaatkan lebih 300,000 pekebun kecil RISDA dan 100,000 peserta FELCRA.

Peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ditambah daripada RM4.4 bilion pada 2019 kepada RM4.9 bilion bagi tahun depan dengan memberi tumpuan khusus untuk meningkatkan pendapatan pengusaha pertanian.

Elaun Sara Hidup Nelayan akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, membabitkan peruntukan keseluruhan RM152 juta.

Sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi membantu petani, nelayan dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh.

Manakala sejumlah RM30 juta akan dibelanjakan bagi penghasilan beras pulut sebagai produk perdana di Pulau Langkawi untuk manfaat 1,200 petani.

Peruntukan input padi turut ditingkatkan kepada RM855 juta berbanding RM796 juta tahun lalu, di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) selain meneruskan subsidi padi bukit atau padi huma.

Bagi membangunkan baka berkualiti dan berproduktiviti tinggi sejumlah RM43 juta diperuntukkan ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0.

Berita Harian X