Jumaat, 11 Oktober 2019 | 7:12pm
MAIWP mengenal pasti 25 orang yang layak menerima dan bersedia membantu lebih ramai bekas kakitangan Utusan Melayu dengan menawarkan pelbagai skim bantuan zakat. - Foto BERNAMA

MAIWP santuni bekas kakitangan Utusan Melayu

KUALA LUMPUR: Seramai 25 orang kakitangan Utusan Melayu diberi bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 berserta barangan keperluan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee, berkata ia adalah bantuan awal kepada mereka dan bantuan susulan akan disalurkan mengikut keperluan mereka.

MAIWP mengenal pasti 25 orang yang layak menerima dan bersedia membantu lebih ramai bekas kakitangan Utusan Melayu dengan menawarkan pelbagai skim bantuan zakat.

“Susulan dengan penutupan operasi Utusan Melayu pada 9 Oktober lalu ini MAIWP terkesan kerana hilangnya satu saluran media yang dahulu menghubungkan kami dengan masyarakat.

“Pada bulan lalu, Baitumal MAIWP turun padang menyampaikan taklimat kepada kakitangan akhbar itu berhubung bantuan disediakan.

“Sehubungan itu, 25 orang bekas kakitangan diberi RM1,000 setiap seorang dan barangan keperluan bagi meringankan beban mereka,” katanya pada majlis penyampaian bantuan zakat kepada kakitangan Utusan Melayu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh, dan Penolong Bekas Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Sementara itu, penerima bantuan, Ariffin Yasin, 53, yang juga bekas Penolong Pengarang Berita Utusan Melayu, berkata beliau berharap sekiranya akhbar itu diambil alih oleh pengurusan baharu, semua kakitangan diserap semula.

“Tun (Dr Mahathir Mohamad) kata sebahagian saja akan diserap, tetapi mengharapkan lebih ramai akan diserap semula kerana ramai bergantung harap pada syarikat.

“Kebanyakan kakitangan tidak membuat persediaan untuk diberhentikan secara mengejut ini. Lebih menyedihkan bagi yang mempunyai keluarga dan komitmen tinggi.

“Malah apabila ada tunggakan gaji ini maka hutang kami juga tertunggak sehingga hampir setiap minggu akan menerima panggilan daripada pihak bank,” katanya.

Bagi pasangan suami isteri, Shamsul Rizal Shari, 44 dan Mastika Mohamed, 43, yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun di akhbar Melayu tertua negara itu, mereka kecewa dengan penutupan operasi syarikat berkenaan.

Shamsul Rizal berkata, beliau memahami situasi syarikat namun berharap ia akan kembali beroperasi kerana masih percaya dengan pihak pengurusan.

“Memang kami kecewa tetapi sekiranya diambil bekerja semula kami berbesar hari kerana pada usia seperti ini sangat sukar untuk mencari pekerjaan lain,” katanya.

Selain itu kurang kemahiran juga menyebabkan seorang bekas kakitangan syarikat ini, Siti Nuratiqah Abdul Jalil, 29, sukar mendapat pekerjaan.

“Walaupun ramai yang mengatakan umur saya masih muda namun tugas saya di Utusan hanya sebagai artis grafik akhbar saja, sedangkan pekerjaan di luar memerlukan kemahiran yang tinggi.

“Keadaan lebih perit untuk saya sebagai anak sulung untuk membantu keluarga. Ayah saya baru saja selesai pembedahan otak dan tidak bekerja, ibu pula suri rumah serta saya mempunyai ramai adik yang masih bersekolah,” katanya.

Berita Harian X