Jumaat, 11 Oktober 2019 | 7:20pm
Menerusi Belanjawan 2020 itu, kerajaan juga akan memberi insentif 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada setiap kerajaan negeri untuk menyokong usaha mereka bersempena TMM 2020. - Foto hiasan

RM1.1 bilion untuk promosi, program TMM2020

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.1 bilion kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dengan RM90 juta dikhaskan untuk meningkatkan kesedaran, promosi dan program sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Ia selaras dengan sasaran kerajaan untuk menarik kedatangan 30 juta pelancong ke negara ini tahun depan, sekali gus mengatasi catatan 25.83 juta pada 2018.

Menerusi Belanjawan 2020 itu, kerajaan juga akan memberi insentif 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada setiap kerajaan negeri untuk menyokong usaha mereka bersempena TMM 2020.

Bagi menggalakkan industri pelancongan, permohonan e-visa yang diperkenalkan kepada 10 negara, termasuk China dan India dipermudahkan cara proses pengeluarannya.

Justeru, ejen pelancongan berlesen di bawah MOTAC dibenarkan menghantar permohonan secara berkelompok sehingga 100 orang setiap transaksi melalui sistem eNTRI dan eVISA.

Insentif lain, perkhidmatan kereta api funikular di Bukit Bendera, Pulau Pinang yang dilihat antara tarikan pengunjung ke Pulau Mutiara mencecah dua juta penumpang setahun dan melebihi kapasiti.

Justeru, kerajaan bercadang pembinaan sistem kereta kabel baharu ke Bukit Bendera dengan peruntukan RM100 juta, manakala kos tambahan ditanggung kerajaan negeri

Bagi meningkatkan manfaat ekonomi TMM2020, kerajaan turut mencadangkan insentif cukai ke atas sektor kesenian dan pelancongan dengan memberi pengecualian cukai pendapatan bagi aktiviti itu seperti pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.

Pada masa sama, pengecualian cukai pendapatan daripada pendapatan berkanun atau elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus bagi pelaburan baharu taman tema antarabangsa dan 70 peratus untuk lima tahun berikutnya.

Berita gembira buat syarikat yang menaja aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia, apabila kerajaan meningkatkan potongan cukai daripada RM700 ribu sehingga RM1 juta setahun.

Bagi merancakkan industri pelancongan, pengecualian duti eksais sebanyak 50 peratus bagi kenderaan pemasangan tempatan diberikan kepada pengendali pelancongan bagi pembelian kenderaan pelancongan baharu.

Sementara itu, elaun modal ke atas perbelanjaan bagi pembelian bas persiaran baharu jenis pemasangan tempatan boleh dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Berita Harian X