Jumaat, 11 Oktober 2019 | 8:08pm
Pertambahan peruntukan untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) jelas membuktikan kepentingan pembangunan sektor agromakanan. - Foto hiasan
Pertambahan peruntukan untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) jelas membuktikan kepentingan pembangunan sektor agromakanan. - Foto hiasan

Belanjawan 2020 buktikan sektor agromakanan penting

KUALA LUMPUR: Pertambahan peruntukan untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) jelas membuktikan kepentingan pembangunan sektor agromakanan ke arah memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan selamat.

Seiring Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, belanjawan itu turut membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan, selain mampu menjadi pemangkin kepada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan dasar Agromakanan Negara 2.0.

Keseluruhannya, MOA menerima peruntukan RM4.9 bilion, dengan RM3.5 bilion daripadanya bagi perbelanjaan pengurusan, manakala RM1.4 bilion lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

“Dalam Belanjawan 2020, peruntukan MOA meningkat 10.9% berbanding RM4.4 bilion tahun ini. Antara yang diberikan penumpuan ialah pemberian elaun dan skim bagi petani dan nelayan yang masih diteruskan serta langkah pemodenan bagi meningkatkan produktiviti mereka,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Belanjawan 2020 turut memberi tumpuan kepada sektor penanaman padi, dengan RM855 juta diperuntukkan bagi tujuan itu, termasuk RM796 juta bagi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).

Subsidi terhadap padi huma atau padi bukit juga akan diteruskan.

Sejumlah RM152 juta diperuntukkan kepada nelayan menerusi Elaun Sara Hidup Nelayan yang dinaikkan dari RM200 kepada RM250 sebulan.

Sebanyak RM150 juta akan dibelanjakan untuk menggalakkan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa dan tembikai dan buluh.

Bagi membangunkan baka berkualiti dan berproduktiviti tinggi, sejumlah RM43 juta diperuntukkan ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0, selain sejumlah RM30 juta akan dibelanjakan bagi penghasilan beras pulut di Pulau Langkawi.

Berita Harian X